Skip to main content

Kibaran Jalur Gemilang semarakkan Majlis Penutup Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang

BELAGA, 17 Ogos 2024 - Majlis Penutup Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang 2.0 melabuhkan tirainya dengan cukup meriah yang diiringi dengan kibaran jalur gemilang bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam sebuah acara yang berlangsung di Uma Ukit, Sarawak. 

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dato' Seri Abdul Razak Jaafar. 

Kibaran Jalur Gemilang semarakkan Majlis Penutup Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang

Menurut Dato' Seri Abdul Razak, Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang 2.0 anjuran Yayasan UMPSA dengan kerjasama Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu ini berjaya mengangkat konsep keharmonian #KeluargaMalaysia apabila disertai seramai 40 sukarelawan yang turun padang berbakti bersama komuniti kaum minoriti Ukit di Rumah Panjang Uma Ukit, Sungai Asap yang unik apabila dihiasi dengan rotan sepanjang 79 rumah yang diusahakan penghuni rumah panjang. 

“Antara aktiviti yang diadakan adalah khidmat masyarakat, promosi pendidikan, pembangunan projek pertanian moden sistem hidroponik dilengkapi dengan tenaga solar, lampu solar, kebudayaan, sukan rakyat dan program motivasi. 

“Program ini juga merupakan manifestasi komitmen UMPSA untuk memasyarakatkan teknologi dan memperkasa komuniti selari dengan slogan UMPSA ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan semangat ‘Pilih untuk Berkongsi’. 

“Sejak Program Kembara Prihatin diperkenalkan, UMPSA telah menjejak berbagai penjuru negeri, dari lembah yang subur di Kapit, Sarawak hingga ke pantai yang indah di Semporna, Sabah,” ujarnya. 

Terdahulu, program Kembara Prihatin turut dilaksanakan di Pos Telanok, Cameron Highlands bersama dengan komuniti Orang Asli yang mempunyai keunikan dan budayanya yang tersendiri,” katanya. 

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua rakan kerjasama yang berganding bahu dalam menjayakan program ini. 

Tambahnya, di Uma Ukit, program ini melibatkan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk membantu dan meringankan beban komuniti setempat melalui kluster teknologi, komuniti, pendidikan, kerohanian, serta bantuan.  

“Program ini telah memberikan impak yang signifikan kepada kehidupan harian penduduk di kawasan ini,” katanya. 

Dato' Seri Abdul Razak turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan UMPSA kepada keluarga dan pelajar sekolah yang berkeperluan iaitu tajaan bersama Yayasan Prihatin. 

Kibaran Jalur Gemilang semarakkan Majlis Penutup Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang

Dalam pada itu, para sukarelawan juga berpeluang untuk menyelami kehidupan bersama keluarga angkat di Rumah Panjang Ukit melalui aktiviti seperti berkebun, menjala di sungai dan mempelajari seni kraf tangan yang dianyam sendiri oleh kaum Ukit. 

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan tetapi juga memberi mereka pengalaman mendalam tentang budaya dan kehidupan seharian kaum Ukit. 

Hadir sama dalam majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Dato' Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Ketua Kampung Uma Ukit, Tuan Ngarit Lijap dan Pegawai Tinggi Pentadbiran Daerah Belaga, Caroline anak perempuan Yang Berhormat Dato’ Sri John Sikie Tayai. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris