Klinik e-Census bantu pelaksanaan banci penduduk dan perumahan
Kuantan , 9 September 2020 - Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia merupakan salah satu aktiviti statistik yang sangat penting yang dilaksanakan setiap sepuluh tahun.
Aktiviti banci ini telah dilaksanakan sebanyak lima kali semenjak tahun 1970.
Pada tahun ini, ia dilaksanakan menerusi Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS) iaitu ke arah memodenkan MyCensus 2020 yang dijalankan mulai 7 Julai hingga 30 September 2020 ini.
Pusat Sains Matematik (PSM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pahang baru-baru ini mengadakan Program Klinik e-Census bagi memudahkan penjawat awam khususnya untuk staf UMP untuk membuat Prapendaftaran e-Census bagi pelaksanaan banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).
Program ini hadiri Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, merangkap Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020.
Hadir sama Dekan Pusat Sains Matematik, Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh dalam program yang berlangsung di Blok W, UMP Kampus Gambang.
Program turut berlangsung di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), UMP Pekan bermula jam 9.00 pagi hingga jam 4.00 petang.
Dalam ucapannya, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir mengucapkan terima kasih atas penganjuran program ini bagi membantu DOSM mendapatkan maklumat Banci Penduduk & Perumahan Malaysia 2020.
“Pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 ini akan memberi manfaat kepada pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi.
“Pada tahun ini, sebanyak 104 soalan disediakan termasuk soalan mengenai perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam masyarakat.
“Banci ini juga menyediakan maklumat asas untuk memantau Agenda Pembangunan Lestari 2030 yang merangkumi komitmen untuk membasmi kemiskinan, kesamarataan, kadar pengangguran dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau juga menyeru agar warga UMP dapat membantu pihak DOSM menghebahkan mengenai kepentingan untuk mendaftar e-Census.
Tambahnya, dengan peningkatan penggunaaan e-Census negara kita dapat dilihat sebagai penggunaan digital yang tinggi.
Pihaknya juga bersedia sekiranya terdapat penyelidikan yang berkaitan untuk dilaksanakan.
Manakala Profesor Dr. Mohd Zuki pula berkata, program ini merupakan satu platform bagi membantu warga UMP untuk mengisi e-Census dengan lebih pantas.
“Staf akan dibantu untuk mengisi e-Census dan akan menerima invitation code bagi mengisi e-Census dengan lebih cepat berbanding menunggu selama 72 jam setelah membuat Prapendaftaran e-Census.
“Kami berharap agar warga UMP dapat menjayakan Banci 2020 bagi membantu kerajaan merancang dan memantau polisi yang akan digunakan untuk mengukur kemampuan pembangunan sosioekonomi Malaysia khususnya pelan kemakmuran Negeri Pahang,” ujar beliau.
e-Census merupakan kaedah dalam pengisian soal selidik secara dalam talian oleh responden melalui pautan Portal Banci (http://ecensus.mycensus.gov.my).
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor
- 196 views