Kolaborasi UMP dan GMI dalam program pesisir
Putrajaya, 21 September – Kaloborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan German-Malaysian Institute (GMI) dalam Program Kerjasama Akademik (Pesisir) UMP-GMI sejak lima tahun lalu memberi peluang mahasiswa institusi ini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian.
Program kerjasama akademik ini telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014 bagi tempoh 5 tahun dengan pengambilan pertama pelajar pada tahun yang sama. Seramai 43 orang graduan program pesisir merupakan di antara 3778 bakal bergraduat pada Majlis konvokesyen ke-14 UMP yang akan berlangsung pada 16 dan 17 November depan.
Bagi menghargai kerjasama yang telah terjalin ini UMP menganjurkan Majlis Apresiasi Program Pesisir UMP-GMI bertempat di Dorsett Hotel, Putrajaya. Program bertujuan menghargai dan mengeratkan lagi hubungan antara pihak pengurusan, alumni dan para pelajar program pesisir UMP-GMI ini.
Selain itu kedua-dua pihak juga boleh mendapatkan maklumbalas dan menilai sejauh mana keberkesanan program ini yang telah dilaksanakan selama 5 tahun serta penambahbaikan melalui pembangunan inisiatif strategik yang boleh diambil oleh kedua-dua pihak terlibat.
Hadir merasmikan program ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad. Turut hadir Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, dan Interim Management Team Member (IMT) GMI, Ir. Dr. Jaronie Mohd Jani serta pengurusan tertinggi UMP dan GMI.
Menurut Dato Sri Ibrahim, kerjasama strategik industri seperti UMP-GMI ini sangat signifikan dan telah menunjukkan keberhasilannya apabila UMP telah menduduki tempat pertama di Malaysia dan ke-71 di dunia dari kalangan universiti bagi kriteria Kerjasama dengan Majikan (Partnership with Employer) dalam penarafan QS Graduate Employability 2020 (QS GE).
“Graduan bagi Program Pesisir UMP-GMI boleh berbangga apabila UMP turut berada di kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020 yang diumumkan pada 15 September lalu. Alumni juga diseru untuk melanjutkan pelajaran peringkat yang lebih tinggi di UMP,” kata Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang turut menyampaikan anugerah kepada tujuh orang pelajar cemerlang dalam majlis ini.
Bagi alumni UMP, Muhammad Rezza Zullkeply yang mengikuti program Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal), beliau berasa berbangga menjadi kumpulan pertama bagi program ini dan menyifatkan program kerjasama ini adalah unik. Sesi pembelajaran dilaksanakan di kampus GMI dengan penglibatan tenaga pengajar dari UMP dan GMI. Muhammad Rezza yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Automasi di Sony EMCS menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada majlis tersebut.
Manakala Maryam Khalilah Mat yang bakal bergraduasi di UMP pada November ini mengharapkan agar program kerjasama akademik sebegini diperluaskan kepada kursus-kursus yang lain berbanding hanya dua program sahaja ketika ini. Maryam yang kini bertugas sebagai Jurutera Proses di NXP Semiconductor berjaya menamatkan program Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada majlis tersebut. Lebih 200 orang pelajar dan alumni Program Pesisir UMP-GMI hadir pada majlis tersebut.
Disediakan Mohd. Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 800 views