Kontinjen UMPSA raih tempat ke-3 dalam perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Pekan
PEKAN, 31 Ogos 2026 - Kontinjen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) raih tempat ketiga dalam perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Pekan yang berlangsung di Dataran Pekan Bandar Diraja Pahang hari ini.
Semangat patriotisme dan kebanggaan sebagai warga universiti teknikal jelas terserlah apabila seramai 50 warga UMPSA tampil menyertai perarakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Kontinjen yang terdiri daripada warga akademik, pegawai, staf dan pelajar itu tampil penuh bersemangat membawa nama serta aspirasi UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal yang komited memperkukuh kecemerlangan dalam bidang teknologi, kejuruteraan, inovasi dan pendidikan berteraskan industri.
Turut hadir memberikan sokongan kepada kontinjen ialah Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, yang diiringi Pengurus Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Mohd Raizalhilmy Mohd Rais.
Kontinjen UMPSA dipimpin oleh Penolong Pegawai Keselamatan, Pusat Keselamatan, Abd Halim Othman yang membawa bersama semangat dan aspirasi seluruh warga universiti untuk terus memperkasa budaya inovasi, meningkatkan daya saing serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Menurut Dato’ Saiful Bahri, kehadiran E-Kilau, sebuah kereta konsep Kenderaan Elektrik (EV) tiga roda yang dipasang dan dibangunkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian di Kilang Pengajaran Automotif (Automotive Teaching Factory) UMPSA mendapat sambutan ramai.
“Kehadiran E-Kilau dalam perarakan bukan sekadar menjadi tarikan, malah melambangkan keupayaan UMPSA dalam mengintegrasikan ilmu, teknologi, kemahiran dan inovasi melalui ekosistem pendidikan yang menepati keperluan sebenar industri.
“Menerusi pendekatan Teaching Factory, pelajar didedahkan kepada pengalaman pembelajaran secara langsung (hands-on) dalam pelbagai aspek pembangunan kenderaan, termasuk pemasangan komponen, pendawaian elektronik dan elektrik, sistem kawalan serta aspek keselamatan kenderaan,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mengucapkan tahniah atas penyertaan UMPSA dalam perbarisan yang berlangsung di Pekan dan Kuantan.
“Bagi UMPSA, teknologi bukan sekadar untuk dicipta, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi menangani cabaran sebenar, meningkatkan kualiti kehidupan dan menyokong pembangunan negara yang mampan,” katanya.
Daripada makmal kepada industri, daripada penyelidikan kepada inovasi dan daripada universiti kepada masyarakat, UMPSA terus melangkah ke hadapan meneroka teknologi masa hadapan serta membangunkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu menjadi pemacu kemajuan negara.
Penyertaan kontinjen UMPSA dalam perarakan Hari Kebangsaan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi manifestasi semangat kebersamaan, kecintaan kepada negara dan iltizam warga universiti untuk terus menyumbang melalui ilmu, teknologi dan inovasi.
Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views
Reports by: