Skip to main content

KOPUMPSA raih tempat ke-211 Koperasi Terbaik Malaysia 2025

KUANTAN, 7 Ogos 2025 – Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Berhad (KOPUMPSA) terus mencipta kejayaan membanggakan apabila melonjak di kedudukan ke-211 dalam senarai koperasi terbaik Malaysia bagi tahun 2025. 

Ia merupakan satu peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-342 pada tahun 2024, sekali gus menandakan prestasi cemerlang yang dicapai hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam koperasi.

Lonjakan ini diumumkan melalui senarai rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menilai prestasi lebih dari 16,000 koperasi berdaftar di seluruh negara. 

KOPUMPSA bukan sahaja berjaya memperbaiki kedudukannya, tetapi juga terus mengekalkan posisi dalam kelompok 350 koperasi terbaik negara untuk beberapa tahun berturut-turut sejak ia ditubuhkan 14 tahun lalu.

Pencapaian ini secara langsung mencerminkan kekuatan dalam pengurusan, semangat kerjasama antara anggota koperasi, serta perancangan strategik yang mantap. 

KOPUMPSA telah memperluaskan sayapnya dalam pelbagai bidang termasuk aktiviti perniagaan peruncitan, latihan pembangunan profesional untuk kakitangan universiti, serta penyediaan kemudahan pinjaman kredit kepada anggota koperasi yang memerlukan.

KOPUMPSA raih tempat ke-211 Koperasi Terbaik Malaysia 2025

Mengambil langkah lebih berani, KOPUMPSA kini juga dalam proses untuk mewujudkan perniagaan perkhidmatan luar dan pelaburan dalam sektor hartanah sebagai strategi pengembangan jangka panjang. 

Inisiatif ini dilihat selaras dengan hasrat koperasi untuk menjana pendapatan mampan sambil memberikan manfaat ekonomi secara terus kepada anggota koperasi dan komuniti universiti.

Menurut salah sorang dari Ahli Lembaga KOPUMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Haji Muhamad Haji Mat Noor, kejayaan ini adalah hasil komitmen tinggi, integriti dalam tadbir urus dan kecekapan operasi yang dilaksanakan secara konsisten sejak penubuhannya. 

“Kekuatan sebenar KOPUMPSA terletak pada sokongan padu para anggota koperasi dan kepercayaan yang diberi kepada kepimpinan koperasi untuk menerajui transformasi organisasi.

“Malah, kejayaan ini bukan milik kami semata-mata, tetapi adalah hasil usaha kolektif semua pihak iaitu anggota koperasi, pengurusan universiti, pelanggan koperasi, rakan strategik dalaman dan luaran serta warga universiti yang telah menyokong perjalanan kami dari awal hingga kini. 

“Kami akan terus memperkukuh kedudukan dengan menambah baik struktur operasi, meneroka bidang perniagaan baharu dan melaksanakan program yang memberi impak tinggi kepada anggota koperasi dan komuniti,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sebagai sebuah koperasi yang bernaung di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), KOPUMPSA terus mengekalkan fokus terhadap kesejahteraan ekonomi warga universiti melalui produk dan perkhidmatan yang relevan serta berimpak tinggi. 

“Pada masa yang sama, KOPUMPSA juga beriltizam untuk menjadi contoh kepada koperasi lain, khususnya dalam sektor pendidikan tinggi, dalam mengurus koperasi secara profesional dan berdaya saing. 

“Kami percaya bahawa dengan kekuatan yang ada dan semangat kolektif warga koperasi, KOPUMPSA mampu menjadi antara koperasi rujukan terbaik di Malaysia,” katanya. 

Dengan kejayaan ini, KOPUMPSA meletakkan satu lagi penanda aras baharu dalam sejarah pencapaiannya, dan membuka lembaran baharu dalam fasa pertumbuhan yang lebih strategik dan mampan.

Disediakan oleh: Professor Madya Ts. Dr. Haji Muhamad Haji Mat Noor, Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Berhad (KOPUMPSA)
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim