Skip to main content

Kumpul Sukarelawan Siapkan Kelengkapan PPE

Kuantan,5 Mei- Menyedari keperluan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diperlukan pada ketika ini dan permintaan terhadap PPE yang berterusan memberikan inspirasi buat  staf UMP Services Sdn. Bhd (USSB) iaitu anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd mengumpul sukarelawan bagi membantu dalam penyediaan kelengkapan PPE ini.  

Ia bermula apabila Eksekutif Lanskap dan Kebersihan USSB, Mohd. Hairudin Idris membantu isterinya, Radziah Wan Mohd Nor yang menjadi sukarelawan menjahit kelengkapan PPE. Namun pada ketika itu, terdapat permintaan agar kelengkapan ini dapat disiapkan segera dan memerlukan sukarelawan.

Hasil hebahan keperluan sukarelawan menggunakan media sosial, beliau tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga dapat mengumpulkan sepuluh orang sukarelawan dalam masa yang singkat.

“Kumpulan ini berjaya menyiapkan pelindung kepala sebanyak 250 unit dan pelindung kaki sebanyak 400 unit. Material seperti kain dan getah dibekalkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA),” katanya.

Sukarelawan membuat PPE tersebut mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Bahan yang diterima juga telah siap dipotong dan diagihkan kepada semua sukarelawan yang terlibat untuk disediakan di rumah masing-masing.

Menurut Radziah, beliau bersama sukarelawan lain amat gembira kerana berpeluang dapat menyumbang tenaga untuk menyiap PPE untuk barisan hadapan iaitu petugas perubatan kesihatan dan perubatan yang sedang menangani COVID-19.

Menceritakan penglibatannya, ketika menerima tawaran dari rakannya, tanpa berlengah beliau bersetuju untuk menawarkan diri menyertai serta menyatakan hasrat kepada suaminya untuk mendapatkan lebih ramai sukarelawan untuk bersama-sama menyiapkan PPE ini.

“Walaupun ada antara sukarelawan tidak mengenali antara satu sama lain, namun tidak menghalang buat kami berganding bahu menyiapkan PPE ini. Semua komunikasi antara kami menggunakan aplikasi pesanan WhatsApp. Dengan kemahiran menjahit yang kami miliki memudahkan kerja menyiapkan PPE ini,” ujarnya. Beliau mula menjahit seawal jam 8 pagi hingga 12.00 tengah hari dan pada sebelah petang akan memberi tumpuan terhadap persiapan menyediakan juadah berbuka puasa buat keluarga. 

Sungguhpun kebanyakan mereka telah mula sibuk dalam menyiapkan tempahan baju raya yang perlu disiapkan, tetapi ia bukan penghalang buat sukarelawan menyumbangkan tenaga walaupun sedikit demi membantu negara yang berdepan pandemik COVID-19.

Manakala bagi Pustakawan UMP, Noorul Farina Arifin, setakat ini beliau diminta menyediakan sebanyak 67 pasang pelindung kaki. Pengalaman ini amat berharga buatnya yang berpeluang menyumbang tenaga membantu barisan hadapan tatkala negara berdepan penularan wabak COVID-19.

Memandangkan beliau bekerja dari rumah (WFH), kebanyakan kerja menjahit dibuat pada hujung minggu dan pada masa kelapangan. Menjahit PPE ini tidaklah  begitu sukar namun masih memerlukan penelitian khusus terutama kaedah jahitannya mengikut sampel yang diberikan.

Disediakan Nor Salwana Hj Mohd Idris daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri