Kunjungan SIASUN, Sapura Industrial tinjau prospek kolaborasi dengan UMP
Pekan, 9 November – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan deligasi SIASUN Co. Ltd (Singapore) atau SIASUN dalam meninjau prospek kolabrasi dalam teknologi kejuruteraan dan bidang penyelidikan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) baru-baru ini.
Deligasi ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SIASUN Automation Singapore, Zgao Chen bersama empat pengurusan SIASUN disambut oleh Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts, Dr. Kamal Zuhairi Zamli. Hadir sama Pengurus Besar Pembuatan, Sapura Industrial, Abdul Halim Baharom, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Prof. Madya Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengarah Center For Technology Management and Services (CTMS), Haji Syahrulnaim Mohammad Nawi.
Deligasi turut dibawa melawat makmal elektrik dan elektronik, makmal mekanikal dan automotif, makmal pembuatan dan mekatronik dan pelaksanaan kilang pengajaran (teaching factory) untuk berkongsi idea dalam pembangunan dan kepakaran seiring dengan inisiatif pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu University Revolution Teaching Factory (URTF) yang berkaitan dengan IR4.0.
Prof. Ir. Dr. Wan Azhar turut membentangkan mengenai latar belakang, pencapaian universiti dan penyelidikan serta produk yang dihasilkan di universiti ini kepada deligasi yang hadir.
“Kerjasama strategik dengan SIASUN ini merupakan satu langkah utama ke arah memanfaatkan teknologi dalam bidang robotik, inovasi dan automasi yang dapat dimanfaatkan UMP. Jalinan kerjasama ini juga membincangkan mengenai potensi kolabrasi bersama rakan industri UMP iaitu Sapura Industrial dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya. Turut dibincangkan perancangan dalam membangunkan teaching factory di UMP hasil kerjasama antara Sapura Industrial dengan bantuan pihak SIASUN.
SIASUN menyediakan produk dan perkhidmatan pintar berkaitan robotik, ianya merupakan organisasi terbesar pembangunan robotik di China dan yang ketiga terbesar di dunia.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 449 views