Skip to main content

Kunjungan UMPSA ke MMC terokai kolaborasi strategik dalam penyelidikan dan inovasi

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 - Pertemuan delegasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama pihak MMC Corporation Berhad (MMC) hari ini bakal menerokai kolaborasi strategik dalam penyelidikan dan inovasi yang memanfaatkan kedua-kedua pihak
.
Kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi sentiasa membuka peluang kerjasama universiti-industri dalam menghasilkan penyelidikan berimpak kepada masyarakat dan industri.

“Dengan gabungan kepakaran UMPSA dan pihak MMC, kita boleh melahirkan penyelesaian inovatif yang mampan, sekali gus memperkukuh ekonomi hijau dan teknologi pintar di negara ini. 

“Melalui penawaran ‘matching grant’ kepada pihak MMC ataupun Alam Flora Sdn. Bhd. dapat membangunkan pelbagai projek penyelidikan berimpak tinggi. 

“Inisiatif ini turut menyokong bidang tenaga boleh baharu, bahan termaju, kampus lestari (eco-campus), Internet of Things (IoT) serta latihan kemahiran TVET,” ujarnya. 

Kunjungan UMPSA ke MMC terokai kolaborasi strategik dalam penyelidikan dan inovasi

Turut dibincangkan pembangunan IoT untuk Isu Pengurusan Sisa, Pendidikan TVET termasuk aspek latihan dron dan pengurusan tenaga. 

Lain-lain berkaitan pensijilan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tenaga daripada sisa dan Projek Eco-Campus UMPSA yang menyokong aspirasi kampus rendah karbon melalui tenaga hijau dan pengurusan lestari.

UMPSA juga merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima pentauliahan Persijilan Antarabangsa Institute of the Motor Industry (IMI) United Kingdom sebagai salah sebuah pusat latihan kenderaan hibrid dan elektrik.

Selain itu, Profesor Dr. Yatimah Alias turut berkongsi matlamat dana endowmen bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi bertaraf global dan membantu membantu pembiayaan projek akademik serta pembangunan universiti.

Tambahnya, inisiatif ini mampu mengukuhkan jalinan kerjasama yang lebih erat di antara UMPSA dengan pihak industri dalam pelbagai sektor bagi membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, latihan industri, penempatan pekerjaan dan pembangunan modal insan.

Pada pertemuan ini juga, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh yang merupakan seorang tokoh ternama dalam bidang perniagaan dan korporat di Malaysia berkongsi pandangan berkaitan bisnes dan penjanaan kewangan universiti.

Turut sama hadir Ahli Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Datin Nur Syarmila Shaheen, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Haji Abdul Wahit dan Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri