Lebih 1,500 hadir Majlis Pelancaran dan Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-67 Tahun 2024 peringkat UMPSA
GAMBANG, 19 Ogos 2024 - Majlis Pelancaran dan Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-67 Tahun 2024 Peringkat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini meriah dengan dihadiri lebih 1,500 orang.
Majlis itu telah berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, program ini diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Ke-67 dan Kibar Jalur Gemilang yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 21 Julai 2024 lalu dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
“Frasa 'Jiwa Merdeka' menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif yang mendorong semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial, dan ekonomi.
“Dengan ini, satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, dan progresif dapat dibentuk dalam memastikan negara terus berkembang maju.
“Sambutan Hari Kebangsaan ini bukan sekadar perarakan warna-warni, mengibar bendera dan menyanyikan lagu-lagu patriotik,” ujarnya.
Namun katanya, ia perlu dihayati, disyukuri dan dihargai atas jasa pengorbanan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan serta segala usaha untuk mengharmonikan negara yang mendokong nilai kekitaan sebagai warganegara Malaysia.
“Saya ingin mengajak semua khususnya warga UMPSA untuk menghayati semangat kemerdekaan ini dengan sepenuh jiwa.
“Hayati, pupuk dan semailah semangat patriotisme agar terus bersemarak di dalam diri kita masing-masing,” ujarnya.
Majlis hari ini turut disemarakkan dengan Ceramah ‘Jiwa Merdeka: Keselamatan Negara Sebagai Maruah Negara Merdeka’ oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin melancarkan majlis pada hari ini dengan menyerahkan jalur gemilang kepada hadirin kehormat.
Semangat patriotik dan kemerdekaan itu turut disemarakkan lagi dengan gemaan nyanyian dan kibaran jalur gemilang oleh para hadirin.
Majlis dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato' Noor Hisam Nordin, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Gezani Md Ghazi, Memangku Tugas-tugas Pengarah Kastam Negeri Pahang, Md Nazri Yusuff dan Ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat Kontigen Pahang.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Indsutri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Penolong Naib Canselor (Pusat Pengembangan Akademik), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, barisan dekan, ketua-ketua jabatan dan pengarah.
Turut hadir, wakil-wakil dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan dan pelajar-pelajar dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gambang dan SMK Seri Mahkota.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 199 views