Lebih 600 pelajar meriahkan Karnival Kimia Malaysia (K2M) Pahang 2025 di UMPSA
GAMBANG, 5 November 2025 – Buat julung kalinya, Karnival Kimia Malaysia (K2M) Pahang 2025 yang merupakan program kerjasama antara Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Pahang, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Pahang berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang.
Majlis Perasmian K2M 2025 telah dirasmikan oleh Presiden Institut Kimia Malaysia, Datuk ChM Dr. Soon Ting Kueh.
Karnival itu yang bertemakan ‘Chemistry for Sustainability’ menggabungkan pendidikan, inovasi dan penglibatan masyarakat sebagai medium untuk memperkasakan pendidikan kimia di peringkat sekolah dan komuniti melalui pendekatan yang interaktif, menyeronokkan dan bersifat pemindahan ilmu secara langsung kepada generasi muda.
Seramai hampir 600 pelajar yang terdiri daripada pelajar Program Sarjana Muda Kimia Industri, Program Diploma Sains Industri FSTI, enam buah sekolah di sekitar Kuantan dan dua buah institusi pengajian tinggi telah menyertai K2M 2025.
Antara sekolah dan IPT yang hadir adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Gambang, Sekolah Menengah Seri Panching, Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan Politeknik Sultan Haji ahmad Shah (POLISAS).

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti pertandingan interaktif dan pameran berasaskan kimia bagi memberi pendedahan terhadap dunia kimia yang luas, tetapi juga membina semangat ingin tahu dan kreativiti dalam kalangan pelajar dan peserta yang hadir.
Turut hadir Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat) UMPSA, Ts. Profesor Dr. Kamal Jusoh yang mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Hadir sama, Pengarah, Institut Kimia Malaysia Cawangan Pahang, Profesor ChM Dr. Chong Kwok Feng, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Negeri Pahang, ChM Wan Ahmad Ashadi Wan Mohd Kamil, Dekan FSTI, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dan Pengarah Program Karnival Kimia Malaysia 2025, Ts ChM Dr. Ahmad Zamani Ab. Halim.
Pada masa yang sama turut diadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMPSA dan IKM bagi mewujudkan kerjasama strategic dalam bidang Kimia.

Datuk ChM Dr. Soon Ting Kueh berharapa agar kerjasama strategik di antara UMPSA dan IKM akan berterusan.
“Menerusi pemeteraian MoU ini, bahan-bahan asas yang digunakan dalam kehidupan harian akan menjadi titik tolak kepada penyelidikan yang mendorong kemajuan sains dan industri kimia yang akan mempunyai impak yang besar dalam pembangunan negara dan dunia secara keseluruhannya,” ujarnya.
Penganjuran K2M 2025 di UMPSA membuktikan bahawa peranan universiti sebagai pusat ilmu yang bukan hanya melahirkan graduan berkualiti tetapi juga memacu keterlibatan komuniti dalam mendukung sains untuk kelestarian sejagat.
Disediakan Oleh: Dina Diyana Rastam Tan, Fakulti Sains Dan Teknologi Industri (FSTI)
- 29 views