Mahasiswa baharu UMPSA diseru jadi generasi berilmu, celik isu dan mampu tawarkan penyelesaian
PAYA BESAR, 20 September 2026 – Mahasiswa baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diseru agar memanfaatkan alam universiti bukan sekadar untuk memperoleh segulung ijazah, sebaliknya sebagai ruang membina ilmu, pemikiran, prinsip, jati diri serta mempersiapkan diri untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Seruan itu disampaikan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah ketika menyampaikan perkongsian menerusi Slot Pelajar Bersama Pemimpin bersempena dengan Minggu Induksi Siswa (MINDS) UMPSA yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Paya Besar hari ini.
Menurut beliau, mahasiswa perlu mengambil tahu tentang perkembangan semasa yang melibatkan masyarakat dan negara termasuk aspek ekonomi, pendidikan, kos sara hidup, teknologi, peluang pekerjaan, alam sekitar, pembangunan wilayah serta dasar awam.

“Ilmu yang dipelajari di universiti akan menjadi lebih bermakna apabila anda mampu menghubungkannya dengan realiti masyarakat.
“Negara memerlukan generasi muda yang membaca, bertanya, menilai dan berani berfikir secara matang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan mahasiswa supaya mempunyai kefahaman yang sihat mengenai isu semasa dan demokrasi dengan membuat semakan fakta serta mendengar pelbagai pandangan sebelum membentuk pendirian.
Beliau berkata, perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada kematangan masyarakat, namun ia perlu diurus dengan adab dan rasa hormat tanpa membawa kepada penghinaan atau permusuhan.
“Ambil tahu tentang negara, tetapi jangan menjadi generasi yang hanya pandai marah di media sosial.
“Jadilah generasi yang memahami isu, tahu fakta dan mampu menawarkan penyelesaian.
“Kepimpinan tidak bermula apabila seseorang memegang jawatan, sebaliknya bermula dengan keupayaan memimpin diri sendiri melalui pengurusan masa, disiplin, amanah, keberanian membuat keputusan serta bertanggungjawab terhadap tindakan,” katanya.
Selain itu, siswa baharu turut diseru menghargai peluang melanjutkan pengajian di universiti dengan menggunakan masa sebaiknya, membina ilmu dan kemahiran serta memastikan peluang pendidikan yang diterima dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Mengulas mengenai cabaran masa hadapan, Dato’ Sri Mohd Shahar berkata, generasi muda perlu tampil sebagai penyelesai masalah (problem solver) dengan menggabungkan ilmu, teknologi, empati dan keberanian bagi menghasilkan penyelesaian yang nyata.
“Jika melihat masalah, latih diri untuk bertanya: apakah yang boleh saya lakukan?
“Jika melihat kelemahan, fikirkan bagaimana ia boleh diperbaiki.
“Jika tidak bersetuju dengan sesuatu dasar atau pendekatan, kemukakan hujah dan alternatif yang lebih baik,” ujarnya.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, barisan pengurusan tertinggi universiti, dekan-dekan, ketua jabatan serta warga UMPSA.
Sesi perkongsian tersebut menjadi ruang interaksi dan pendedahan kepada siswa baharu dalam membina aspirasi, memahami peranan mereka sebagai mahasiswa serta mempersiapkan diri untuk menjadi generasi berilmu, bertanggungjawab dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 24 views
Reports by: