Mahasiswa UMP Berbakat Besar Pementasan Teater Jalan Yang Kalsom Pikat Hati Penonton
Kuantan,14 April- Persembahan mantap mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam pementasan teater 'Jalan Yang Kalsom Sebuah Muzikal' (JYKSM) yang dijayakan seramai 60 orang tenaga produksi daripada Kumpulan Teater Senandika dan Kumpulan Tari Kencana Pawana, Sekreteriat Kebudayaan dan Kesenian UMP berjaya membuatkan hati penonton tersentuh juga menghiburkan.
Gabungan mantap hasil kolaborasi UMP dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Negeri Pahang (RTM Pahang) ini membawa penonton menyelusuri kisah suka duka penghuni Jalan Yang Kalsom di Ipoh, Perak sekitar tahun 70-an. Cerminan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan mengisahkan perjalanan hidup insan-insan yang terpilih yang boleh dijadikan pedoman dan pengajaran buat semua.
Menurut Penasihat Produksi, Noor Afiza Mohd Asmi berkata, naskah asal ditulis oleh Syafiq Ziazan dan diolah dalam bentuk muzikal oleh pengarah pementasan Rizal Ali yang merupakan mahasiswa tahun 3, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).
“Keseluruhan tenaga kerja belakang tabir, pelakon dan penari adalah mahasiswa UMP. Manakala pengacaraan dan suara latar dikendalikan oleh Dj Pahang FM iaitu Izzul, Ain, Hanum dan Fatin. Muzik iringan sepanjang pementasan adalah gabungan Kombo RTM Pahang dan Bahagian Kebudayaan UMP (PSK) yang diketuai oleh Pengarah Muzik RTM, Anuar Chacho dengan menampilkan dua lagu baharu iaitu Sendiri dan Rasa serta Original Sound Track (OST) khas utk pementasan JYKSM,” katanya. Turut sama membantu kelancaran produksi adalah Mohd Sharfaril Izwan Md Nor Shahar selaku penerbit RTM.
Ujarnya komitmen mahasiswa amat tinggi tatkala menjalani latihan yang memakan masa hampir lima bulan dari segi olahan skrip asal kepada muzikal, pembentukan watak, penyediaan props dan pentas, pemilihan busana, mengkaji tatarias. Pelakon juga memikul tugas yang sangat mencabar dalam mendalami watak masing-masing dan memastikan kesesuaian lagu-lagu yang dimainkan agar bertepatan dengan jalan cerita.
Pihaknya amat menghargai sokongan warga UMP dan komitmen jabatan lain terutamanya Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bahagian Keselamatan dan Jabatan Bendahari.
Bagi Aznorizamin Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan berkata, beliau amat kagum dengan bakat dan kebolehan mahasiswa yang mampu mengadakan pementasan selama dua jam ini dengan lakonan yang sangat memberi kesan, penghasilan props dan pengurusan pentas walaupun mereka bukan mempunyai latar belakang berkaitan bidang seni lakonan ataupun teater. Apatah lagi mahasiswa mengikuti pengajian berteraskan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi namun mempunyai bakat besar dalam lakonan.
Sementara itu, bagi penonton yang merupakan aktivis teater dari Anggun Performing Arts Temerloh, Al-Zahari Awang Samah, menyifatkan persembahan mantap daripada mahasiswa UMP dari segi kekuatan lakonan, props yang menarik dan jalan cerita yang sesuai diiringi dengan muzik. Sebagai penonton beliau berpuashati dan sangat terhibur.
Lebih 500 penonton hadir termasuk pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Mahkota Kuantan dan hasil pembelian pas masuk disumbangkan kepada Pusat Jagaan Wanita dan Kanak-Kanak Casa Harapan sebagai khidmat sosial korporat (CSR). Turut hadir dalam pementasan adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Pro Pendaftar, Abd. Rahman Haji Safie, Timbalan Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Rida Suziwati Muda dan Ketua Bahagian Rancangan RTM ,Jaya Brabu A/L Balasubramaniam.
Disediakan Noor Afiza Mohd Asmi daripada Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat
- 193 views