Skip to main content

MATAHARI santuni ahli dan iktiraf kecemerlangan anak-anak warga UMPSA

PEKAN, 6 Julai 2026 - Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (MATAHARI) telah menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Neng Sury Sulaiman, sebagai tanda keprihatinan terhadap ujian yang sedang dihadapi keluarganya bertempat di Canseleri Tun Abdul Razak, Pekan. 

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Wanita UMPSA (MATAHARI), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap penerima dalam meringankan beban yang dihadapi.

Suami Neng Sury kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selepas disahkan menghidap kanser pangkal hidung tahap 4.

Dalam masa yang sama, ibu Neng yang sebelum ini menghidap kegagalan buah pinggang tahap lima dan mengalami pendarahan dalam perut telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat lalu. 

Pemergian insan tersayang itu menambahkan lagi ujian yang sedang dihadapi oleh beliau sekeluarga.

Menurut Presiden Persatuan Wanita UMPSA (MATAHARI), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah, MATAHARI sentiasa komited memperkasa kebajikan wanita warga UMPSA dengan memastikan setiap ahli sentiasa mendapat sokongan, sama ada ketika berhadapan ujian kehidupan mahupun ketika meraikan detik-detik kejayaan bersama keluarga. 

“Kekuatan seorang wanita adalah tunjang kepada kesejahteraan sesebuah keluarga, justeru Persatuan MATAHARI akan terus menjadi platform yang menyatukan semangat kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan ahlinya,” ujarnya.

Ketika sesi penyerahan sumbangan tersebut, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah turut memberikan kata-kata semangat kepada Neng agar terus tabah dan cekal menghadapi ujian yang menimpa keluarga.

Beliau turut menitipkan doa semoga suami Neng dikurniakan kesembuhan, dipermudah segala urusan rawatan serta diberikan kekuatan, ketabahan dan kecekalan dalam mengharungi dugaan ini. 

“Saya berharap sumbangan yang disalurkan, walaupun tidak seberapa, dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung serta menjadi tanda sokongan dan keprihatinan MATAHARI terhadap ahli yang memerlukan.

Sementara itu, Neng Sury Sulaiman menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden MATAHARI serta seluruh ahli jawatankuasa atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan. 

“Sumbangan tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga, malah memberikan kekuatan dan semangat kepada beliau untuk terus tabah menghadapi ujian yang sedang dilalui.

Terdahulu, Persatuan MATAHARI juga turut berkongsi kegembiraan dengan meraikan kejayaan anak-anak ahli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerusi Dermasiswa Kecemerlangan Pendidikan Tabung Kebajikan MATAHARI.

Seramai empat orang penerima telah menerima dermasiswa berjumlah RM300 setiap seorang. 

MATAHARI santuni ahli dan iktiraf kecemerlangan anak-anak warga UMPSAMATAHARI santuni ahli dan iktiraf kecemerlangan anak-anak warga UMPSAMATAHARI santuni ahli dan iktiraf kecemerlangan anak-anak warga UMPSAMATAHARI santuni ahli dan iktiraf kecemerlangan anak-anak warga UMPSA

Penerima terdiri daripada Muhammad Akmal Muhammad Dlemi (11A), anak kepada Setiausaha Pejabat, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Norazielawati Romli.

Selain itu pasangan kembar, Muhammad Solahuddin (9A) dan Muhammad Burhanuddin (8A+), anak kepada Pegawai Sains, Makmal Berpusat, Nor Hafizah Zainal Abidin dan Nik Aleefa Qysara Adreena Nik Hashimiezam (8A), anak kepada Penolong Pegawai Tadbir, Pusat Sains Matematik, Nazirah Marzuki@Zakaria.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri