Skip to main content

Memperkasa pentadbir UMP mendepani era digital

KUANTAN, 6 Mac 2021 - Pentadbir universiti perlu membuat persediaan secara komprehensif dalam era revolusi digital ini untuk terus kekal berdaya saing, merancakkan kemajuan dan mencorakkan kegemilangan dalam landskap pendidikan negara seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025.
 
Penggunaan sistem dan kaedah penyampaian yang berkesan dijangka akan dapat meningkatkan bakat kepimpinan dan kemahiran para pentadbir universiti dalam usaha menyokong pendigitalan kampus universiti.
 
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, menyarankan agar pentadbir dan pengurus profesional (middle management) dapat menyertai program global outreach atau pun program Sarjana Perniagaan (MBA) dalam jangka masa pendek (lapan minggu) sebagai program pemantapan bakat bagi persediaan berhadapan dengan teknologi digital dan Revolusi Industri (IR 4.0).  

“Pengetahuan berkaitan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, Whistleblowing Act, governan dan integriti penting dalam memastikan para pegawai menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti dalam governan korporat agar sentiasa diutamakan, diperkasa dan dilindungi,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI) UMP baru-baru ini di Hotel Zenith, Kuantan.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar pihak persatuan dapat turut sama menyokong dan menggerakkan usaha pihak Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) berkaitan ketamadunan, pelancongan dan warisan negeri Pahang hasil kerjasama dengan pihak kerajaan negeri Pahang. 
 
Turut dibincangkan agenda kesukarelawanan, Yayasan UMP, keusahawanan dan jaringan (networking) UMP terhadap staf, pelajar, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat umum serta penganjuran program dengan kerjasama pihak Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) yang bakal memberi impak dan manfaat semua.  

Sementara itu, Presiden PPTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais menyambut baik saranan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz agar pengurus profesional UMP dapat membantu dan merubah keadaan UMP supaya lebih menghasilkan sesuatu yang berguna untuk komuniti sekitar.

“Ekosistem universiti bukan hanya terhenti di dalam universiti tetapi seharusnya melangkaui sempadan. 

“Komuniti UMP harus keluar membantu masyarakat sekeliling. Begitu juga dengan the young talent di era digital hari ini yang menghasilkan kepimpinan yang pantas terutama dalam pembuatan keputusan berdasarkan kepada fakta yang tepat.
 
“Rentetan dari itu, PPTI akan memperkenalkan satu konsep baharu iaitu ‘Muhsin’ dalam kalangan ahli PPTI. 

“Idea ini merupakan garapan idea pihaknya dalam menyahut  seruan kesukarelawanan oleh Tan Sri Dato’ Sri Dr. Aziz di samping terus mendokong kepada perencanaan Pelan Strategik UMP,” katanya. 
 
Menurutnya, seseorang yang bersifat ‘Ikhsan’ digelar ‘Muhsin’. 

“Muhsin tidak cukup dengan menyempurnakan ibadah wajib semata-mata.

“Individu tersebut juga menjadikan diri mereka sebagai penyebar kebaikan kepada yang lain. 

“Mereka ini sesekali tidak akan melakukan kezaliman malahan akan menjadi sumber kebahagian dan pelita hidup orang yang mengenalinya,” ujarnya. 
 
Pertemuan selama lebih satu jam itu disifatkan sebagai pertemuan pertukaran buah fikiran yang diharapkan dapat membantu UMP dalam meningkatkan mutu penyampaian dan mengekalkan pencapaian yang terunggul.
 
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit