Naib Canselor UMPSA terima pangkat Kolonel (Kehormat) PSSTUDM
NEGERI SEMBILAN, 5 Mei 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias telah dikurniakan pangkat Kolonel (Kehormat) PSSTUDM sebagai Komandan PALAPES UMPSA.
Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat bagi Pegawai Kehormat dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) telah berlangsung di Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU), Pangkalan Udara Sendayan baru-baru ini.
Pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris.

Turut sama berangkat adalah DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Brigedier Jeneral (Kehormat) Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’Fifullah Shah PSSTUDM dan YAM Brigedier Jeneral (Kehormat) Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj PSSTUDM.
Pengurniaan tauliah kehormat Naib Canselor UMPSA ini berkuat kuasa pada 24 Februari 2026 seperti yang telah diluluskan pada Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-633.
Profesor Ts. Dr. Yatimah menyatakan rasa syukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Penghormatan ini bukan sekadar gelaran, tetapi satu tanggungjawab untuk terus menyumbang bakti kepada negara, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan angkatan tentera.
“Semoga kerjasama strategik antara UMPSA dan TUDM ini dapat terus diperkukuh, khususnya dalam bidang perkongsian ilmu, penyelidikan dan pembangunan modal insan,” ,” ujarnya.
Sementara itu, PALAPES Udara UMPSA telah ditubuhkan pada 3 November 2011 dengan keanggotaan aktif semasa seramai 158 orang merangkumi kohort ke-11 hingga 13.
Manakala sebanyak sepuluh kohort telah ditauliahkan semenjak penubuhannya melibatkan lebih 400 orang pegawai.

Turut sama hadir dalam majlis adalah Pendaftar UMPSA, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Penolong Timbalan Naib Canselor HEPA, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud, Pengurus Akademi A.D.A.B, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, dan Ajutan PALAPES Udara UMPSA, Kapten Tuan Mohd Rizqin Tuan Ab Aziz TUDM.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 32 views
Reports by: