Skip to main content

Pakej Rahmah Prabayar Siswa beri manfaat buat pelajar UMPSA

PEKAN, 19 Julai 2024 - Pengumuman Kementerian Komunikasi baru-baru ini yang menawarkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari disambut baik pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan media pada 17 Julai 2024 turut menyambut baik pakej ini yang merupakan kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan telekomunikasi dan internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran. 

Selain itu, usaha ini dapat membantu mengurangkan beban pelajar.

Bagi pelajar tahun 2 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Asyraf Zhofran Ismail berpandangan usaha ini meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar di Malaysia.

Pakej Rahmah Prabayar Siswa beri manfaat buat pelajar UMPSA

“Pakej Rahmah Prabayar Siswa yang dilaksanakan ini menawarkan kos yang lebih rendah dan cara yang lebih mudah untuk mengakses internet terutamanya melibatkan pembelajaran dalam talian serta sebagai langkah yang baik untuk menyediakan sokongan kepada pelajar dalam era teknologi.

“Selain itu, pelajar boleh menjimatkan wang, mendapat akses internet yang lebih mudah, dan lebih fokus dengan pakej ini. 

“Walau bagaimanapun, keberkesanan pakej ini bergantung pada kualiti perkhidmatan, kesedaran pelajar dan sokongan berterusan,” katanya. 

Malahan, pelajar juga boleh menjimatkan wang yang biasanya dibelanjakan untuk perkhidmatan telekomunikasi dengan menawarkan langganan yang lebih rendah dan akses internet yang lebih murah. 

Penjimatan ini boleh digunakan untuk keperluan tambahan seperti bahan pendidikan, makanan, dan pengangkutan, yang akan mengurangkan beban kewangan keseluruhan mereka.

Selain itu, inisiatif ini turut memastikan pelajar mempunyai akses internet yang konsisten dan boleh diandalkan untuk pembelajaran dalam talian serta menyelesaikan tugasan akademik mereka.

Manakala menurut pelajar tahun 1, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ahmad Fitri Sahazudin,  pakej ini menampakkan keprihatinan kerajaan dan syarikat telekomunikasi yang cakna terhadap keperluan mahasiswa, terutamanya dalam komunikasi serta akses internet yang menjadi kepentingan asas dalam pembelajaran pada masa sekarang.

Pakej Rahmah Prabayar Siswa beri manfaat buat pelajar UMPSA

“Inisiatif ini sebenarnya menunjukkan usaha kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh pelajar.

“Dengan adanya pakej prabayar yang menawarkan caj yang lebih rendah dan data yang mencukupi, pelajar tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan internet. 

“Dengan ini, pelajar juga boleh menumpukan lebih banyak perbelanjaan mereka kepada perkara-perkara lain yang penting contohnya, makanan, buku, dan keperluan pengajian lain,” katanya. 

Di samping itu juga katanya, para pelajar dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran dalam talian, melakukan penyelidikan, menghadiri kelas dalam talian, dan berkomunikasi dengan pensyarah serta rakan sekelas tanpa sebarang gangguan. 

“Cara ini akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam pembelajaran sekali gus dapat membantu pelajar untuk mencapai prestasi akademik yang lebih baik,” ujarnya. 

Bagi rakannya yang juga dari FTKA, Alvian Jorgen berkata, menariknya pakej ini menyediakan akses internet yang lebih mampu milik, memudahkan pelajar untuk menjalankan pembelajaran dalam talian dan menyelesaikan tugasan.

Pakej Rahmah Prabayar Siswa beri manfaat buat pelajar UMPSA

Sementara itu, bagi Adam Ibrahim Jamaludin yang merupakan pelajar tahun 2 juga dari FTKA berkata, sejujurnya beliau amat berterima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi terlibat dan semua pihak yang sentiasa cakna dan prihatin untuk membantu mengurangkan beban pelajar universiti.

Pakej Rahmah Prabayar Siswa beri manfaat buat pelajar UMPSA

“Selama saya berada dalam era pengajian dari peringkat kolej sehingga ke peringkat pengajian ijazah sarjana muda, inisiatif inilah yang paling baik kerana ia dapat memberi manfaat buat pelajar terutamanya dari segi teknologi dan internet. 

“Memandangkan keperluan internet 24 hours diperlukan dan harganya pun paling minimum adalah RM40/bulan, justeru, pakej ini dapat bantu pelajar dalam fokus kepada kos sara hidup yang lain.

Di samping itu, kebanyakan assignment di universiti perlu dihantar melalui  platform dalam talian (online) dan nota nota pun dimuat naik oleh pensyarah di platform online, jadi dengan ada kemudahan inisiatif ini pelajar tidak perlu risau dan bergantung pada talian (line) di universiti dan boleh menjadi lebih flexible.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit