Skip to main content

Pasangan kembar terima sumbangan komputer riba dan bantuan awal pendidikan UMPSA

KUANTAN,  15 Julai 2024 -  Pasangan kembar yang merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, Nur Fatin Ariena Zaidi dan Nur Fatin Ariesa Zaidi tidak menyangka menerima kunjungan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menyampaikan sumbangan komputer riba dan Bantuan Awal Pendidikan sebagai persediaan pendaftaran pelajar baharu UMPSA bagi program diploma pada 27 Julai 2024 nanti. 

Kedua-duanya yang juga merupakan peserta Program Akademik Menara Gading Al-Sultan Abdullah ini menerima sumbangan yang disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin di kediaman kakaknya di Beserah. 

Pasangan kembar terima sumbangan komputer riba dan bantuan awal pendidikan UMPSA

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, pihak Yayasan UMPSA telah memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 dana Bantuan Awal Pendidikan dan insentif kecemerlangan buat pelajar yang memilih UMPSA sebagai universiti pilihan pertama. 

“Sumbangan ini adalah khusus untuk pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“UMPSA juga telah mengenal pasti pelajar yang berkeperluan dan pada masa ini beberapa kumpulan Skuad Yayasan UMPSA dan staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) mulai bergerak di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak bagi menyampaikan bantuan dan menyantuni keluarga untuk urusan pendaftaran terutamanya yang jauh di pedalaman.

“Semoga pelajar-pelajar yang telah menerima tawaran di UMPSA ini, jika menghadapi masalah bolehlah berhubung dengan pihak Yayasan UMPSA untuk mendapatkan maklumat serta bantuan yang diperlukan,” katanya yang hadir menyantuni keluarga penerima manfaat. 

Manakala pasangan kembar Fatin Ariena Zaidi dan Nur Fatin Ariesa Zaidi melahirkan rasa gembira dan tidak sabar untuk mendaftar sebagai mahasiswa apabila ditawarkan program Diploma Sains Industri yang akan mendaftar pada 27 Julai ini di UMPSA Kampus Gambang. 

Pasangan kembar terima sumbangan komputer riba dan bantuan awal pendidikan UMPSA

Bagi Fatin Ariena pula mereka sekeluarga terkejut dengan kehadiran staf UMPSA ke rumah kakaknya dan menerima sumbangan komputer riba, wang tunai dan kit bantuan buat mereka sekeluarga namun bersyukur dengan bantuan ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Jaafar, Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah, Pengurus Jabatan Canseleri, Muhammad Faisal Mohd Yasin dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abd Wahit. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris