Pasukan Cyber X UMPSA juarai Astro-NACSA Coding Challenge 2024 (ANCC2024)
PUTRAJAYA, 2 Ogos 2024 - Pasukan Cyber X UMPSA mengharumkan nama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila berjaya merangkul kemenangan dalam Astro-NACSA Coding Challenge 2024 (ANCC2024) baru-baru ini.
Lebih membanggakan apabila kejayaan mereka diraikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan anugerah dan hadiah yang ditaja oleh syarikat teknologi antarabangsa Blackberry-CompTIA, Cisco dan Huawei di Sidang Kemuncak Keselamatan Siber 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 30 Julai lalu.
Sebelum dinobatkan sebagai johan, pasukan Cyber X UMPSA telah berjaya terpilih sebagai salah satu daripada lima finalis daripada kesuluruhan 251 penyertaan.
Cyber X UMPSA diwakili oleh tiga orang pelajar dari Fakulti Komputeran (FK) iaitu Logathepan a/l Muniyappan, Yattish a/l Jaya Nanda Kumar dan Shatthiya Ganes a/l Sivakumaran
Pertandingan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Astro Malaysia Holdings Berhad itu melibatkan pelajar dari universiti awam dan swasta dalam usaha untuk memupuk kesedaran serta menangani ancaman keselamatan siber.
Dengan sokongan Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), ANCC2024 menugaskan para peserta untuk membangunkan perisian aplikasi mudah alih yang inovatif bagi mengesan dan mengenal pasti risiko ancaman keselamatan siber.
Pasukan-pasukan yang memenangi pertandingan ini mempamerkan kreativiti dan kepakaran teknikal yang mengagumkan serta mampu menangani cabaran kritikal keselamatan digital yang dihadapi oleh Malaysia.
Pertandingan ini juga bertujuan untuk menormalisasikan navigasi digital yang selamat dalam ruang siber. ANCC2024 penting untuk meningkatkan kesedaran dan melahirkan pakar keselamatan siber di generasi yang akan datang bagi mempertahankan negara daripada ancaman yang semakin meningkat.
Logathepan a/l Muniyappan berkata dia berminat untuk menyertai pertandingan ini apabila dimaklumkan oleh pensyarahnya yang berkongsi maklumat pertandingan semasa kuliah.
“Saya bersama dua rakan baik, Shatthiya Ganes a/l Sivakumaran dan Yattish a/l Jaya Nanda Kumar merupakan rakan baik ketika sama-sama di dalam pengajian Diploma Sains Komputer di UMPSA sejak tahun 2019.
“Shatthiya dan Yattish kini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di UMPSA, manakala saya adalah pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang Keselamatan Siber.
“Kami memutuskan untuk menyertai pertandingan ini sebagai pasukan CyberX,” ujarnya.
Menurut Logathepan lagi, Shatthiya dan Yattish menunjukkan kemahiran pengekodan yang cemerlang, manakala dia memfokuskan pada isu keselamatan siber, kajian kes, API, serta penyediaan bahan pembentangan.
“Bagi memastikan kejayaan kami ini, langkah pertama adalah dengan menghantar aplikasi kami bersama semua fail yang diperlukan.
“Kami telah disenarai pendek antara lima pasukan terbaik dan dijemput untuk sesi pembentangan di hadapan CEO NACSA, Astro, Blackberry, dan syarikat-syarikat lain.
“Akhirnya, kami diumumkan sebagai juara semasa acara National Cyber Security Summit,” katanya.
Katanya, ini adalah pencapaian yang cukup membanggakan dan membuktikan bahawa usaha dan kerjasama yang kami usahakan selama ini berbaloi,” ujarnya.
“Kami mengambil masa sekitar satu bulan untuk merancang, mengatur UI/UX, dan mengimplementasikan API.
“Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli telah membimbing dan menyokong kami sepanjang proses ini serta turut memberi sokongan dengan menghadiri acara pengumuman pertandingan.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang banyak membantu kami terutamanya kepada Dr. Nor Saradatul Akmar, juga penghargaan khas kepada Ts. Dr. Hoh Wei Siang yang membantu kami mengembangkan idea, dan Ts. Azma Abdullah yang membantu mendapatkan tajaan dari fakulti untuk menampung perbelanjaan ke PICC, Putrajaya,” tambahnya.
Malah, kejayaan ini juga katanya turut memberikan motivasi kepada kami untuk terus berusaha dan mencapai lebih banyak kejayaan.
“Walaupun Cyber X hanya terdiri daripada tiga orang, kerjasama yang erat, komunikasi yang baik, setiap ahli memainkan peranan masing-masing dengan baik.
“Sikap saling membantu apabila diperlukan adalah antara tip kami untuk berjaya menjadi johan”.
“Saya juga berharap agar pelajar-pelajar di luar sana sentiasa berusaha untuk mencapai impian mereka,” katanya.
Jelas beliau lagi, jangan takut untuk mencuba perkara baharu dan terus berusaha memperbaiki diri.
“Ambil peluang untuk menyertai pertandingan dan aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran anda serta jangan lupa untuk bekerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Bertanya lanjut dengan Dr. Nor Saradatul Akmar mengenai keterlibatannya dalam usaha membantu para pelajarnya, beliau berkata peranannya lebih banyak sebagai penasihat dan pembimbing dalam membantu pelajarnya merancang dan mengatur susun reka bentuk UI/UX bagi memenuhi aspek penilaian dan pemarkahan yang telah diletakkan pihak penganjur.
“Selain itu, saya turut membantu memperkemaskan kertas cadangan mereka sebelum penilaian akhir yang diadakan secara dalam talian.
“Kejayaan pasukan ini menjadi johan adalah atas iltizam dan semangat berpasukan dan tidak kenal erti putus asa yang ditunjukkan oleh mereka bertiga.
“Kejayaan mereka juga turut membuktikan bahawa pelajar FK sangat hebat dan berkualiti terutamanya dalam konteks pengaturcaraan computer,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak Fakulti Komputeran dan UMPSA memberikan pelbagai inisiatif dan galakan kepada pelajar dalam usaha memastikan para pelajar dapat menyertai pelbagai pertandingan samada peringkat dalam mahupun luar universiti.
“Dalam konteks ASTRO-NACSA Coding Challenge ini, tiada implikasi yuran pendaftaran, jadi pelajar boleh menyertai pertandingan ini secara percuma.
“Walau bagaimanapun, antara inisiatif secara tidak langsung adalah penglibatan pensyarah selaku penasihat dalam membantu pelajar menghasilkan aplikasi mengikut kriteria pemarkahan dan penjurian, membantu pelajar kembangkan lagi idea-idea mereka, meluluskan peruntukan kewangan bagi pelajar terlibat untuk menyertai majlis penutup di PICC, Putrajaya serta sokongan dalam aspek keperluan hardware dan software di fakulti (mengikut keperluan pertandingan yang disertai pelajar),” katanya.
Tambah beliau lagi, melihat kepada maklum balas positif yang diterima daripada pihak ASTRO, saya berharap pasukan ini akan dapat bersama-sama ASTRO dan NACSA bagi merealisasikan pembangunan aplikasi Cipherkey ini lebih dari sekadar prototaip dan seterusnya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya dalam membantu meningkatkan keselamatan data digital mereka.
“Saya juga berharap agar para pelajar, terutamanya pelajar-pelajar FK lebih ramai yang berani untuk melangkah keluar dan menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat fakulti, universiti, nasional mahupun ke peringkat antarabangsa.
“Saya juga percaya pelajar-pelajar kita sangat berkebolehan dan hebat terutamanya dalam pertandingan yang melibatkan pengaturcaraan komputer seperti coding challenge, hackaton dan sebagainya.
“Kejayaan ini tidak datang tanpa usaha dan kegigihan yang kuat serta semangat berpasukan yang unggul,” tambahnya.
Beliau juga turut menyampaikan penghargaan kepada Pasukan Cyber X kerana menerima setiap teguran dan bimbingan darinya secara terbuka.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Pasukan CyberX kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi penasihat mereka bagi pertandingan ini dan sekali gus mencipta kenangan yang sangat bermakna ini.
“Terima kasih juga kepada pihak fakulti yang sentiasa memberi sokongan dan membuka ruang serta peluang kepada pelajar untuk menyertai pertandingan-pertandingan luar seperti ini,” tambahnya lagi.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 194 views