Skip to main content

Pasukan UMPSA Tech raih di kedudukan ke-13 terbaik dalam Asia Shell Eco Marathon 2024

INDONESIA, 7 Julai 2024 - Pasukan UMPSA Tech mengharumkan nama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di pentas antarabangsa apabila berjaya menempah kedudukan ke-13 terbaik Asia dan dinobatkan pasukan kedua terbaik Malaysia dalam kategori bateri prototaip pada kejohanan Shell Eco Marathon 2024 yang berlangsung di Pertamina Mandalika Sirkuit, Lombok Indonesia baru-baru ini.

Walaupun berdepan situasi getir dengan cuaca ekstrem di litar perlumbaan yang menyaksikan beberapa jentera tidak mampu menghabiskan percubaan, pasukan UMPSA Tech terus bersemangat sehingga berjaya membuat enam percubaan seterusnya mencatatkan rekod kecekapan tenaga 196 km/kwh, mengatasi rekod yang pernah dicatatkan pada edisi 2023.

Kejohanan yang berlangsung selama tujuh hari itu mulai 1 hingga 7 Julai turut disertai 78 pasukan pelajar daripada 12 negara antaranya termasuklah Malaysia, Indonesia, China, Filipina, Arab Saudi, Korea Selatan, Qatar dan India.

Pasukan UMPSA Tech raih di kedudukan ke-13 terbaik dalam Asia Shell Eco Marathon 2024

Pada kali ini, sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan iaitu kategori enjin pembakaran dalaman (ICE), bateri elektrik (BE) dan hidrogen (H2).

Menurut pensyarah kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Dr. Abdul Nasir Abd Ghaffar yang juga merupakan penasihat pasukan UMPSA Tech, seramai lapan pelajar daripada FTKEE, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) menyertai pasukan pada kali ini.  

“Kejohanan ini menampilkan format pertandingan berasaskan kadar kecekapan tenaga iaitu pasukan dikehendaki melakukan percubaan rekod kecekapan tenaga terbaik untuk lapangan perlumbaan sejauh 25 kilometer yang perlu dihabiskan di bawah 30 minit.

“Pada edisi kali ini juga turut menyaksikan puluhan pasukan tersingkir seawal peringkat pemeriksaan teknikal dengan regulasi yang ketat sebelum pasukan dibenarkan untuk membuat percubaan di atas litar,” ujarnya. 

Beliau juga menghargai komitmen pelajar dan sokongan daripada dekan, fakulti serta lain-lain pihak yang banyak mendorong kepada kejayaan pasukan ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Proesor  Dato‘ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah buat pasukan UMPSA Tech yang berjaya mengharungi cabaran dan meraih kemenangan ini.

“Kejohanan ini diharapkan mampu menjadi asas kukuh untuk membina dan menguji pengetahuan serta  kemahiran pelajar merentasi pelbagai disiplin teknologi dan kejuruteraan.

“Malahan seterusnya dapat membina generasi pelapis yang berdaya saing selaras dengan aspirasi TVET negara,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad