Skip to main content
Pelajar sekolah melawat galeri UMP dan sertai program STEM

Pelajar sekolah melawat galeri UMP dan sertai program STEM

Kuantan, 10 November – Program Street Science @ Gallery anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)  baru-baru ini mampu menyuntik kecenderungan pelajar sekolah untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain menyaksikan produk penyelidikan, arkib sejarah universiti dan koleksi gambar kecemerlangan universiti di galeri, pelajar  berpeluang menyertai aktiviti sains dalam program Street Science @ Gallery yang diadakan bersempena Expokonvo UMP. Program melibatkan seramai 10 orang mahasiswa fakulti sebagai fasilitator dan 31 orang pelajar Tahun 4 dan 5 dari Sekolah Kebangsaan Wira Kuantan.

Menurut pengarah program, Mohd Faizul Nazrie berkata, pemilihan aktiviti yang dijalankan pada kali ini memberi pendedahan awal terhadap pelajar sekolah menegnai STEM. Peserta aktiviti dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk memudahkan kaedah penyampaian dan mendapat bimbingan fasilitator.

“Pada kali ini aktiviti yang diadakan berkonsepkan Do It Yourself (D.I.Y) yang mana setiap pelajar diberi peluang untuk menjalankan sendiri eksperimen sementara fasilitator bertindak sebagai penasihat. Mereka sangat teruja dan menunjukkan reaksi serta maklum balas yang baik,” katanya.

Beliau berharap peserta dapat berkongsi ilmu yang mereka perolehi pada hari ini dengan rakan-rakan di sekolah. Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah Math Race and PuzzleLets RecycleFire Fact dan Science Fun.

Melalui aktiviti ini juga pelajar diuji dengan kemahiran Matematik dan pengetahuan Sains manakala aktiviti Lets Recycle pula , pelajar dibekalkan dengan kertas dan plastik dan diajar untuk menghasilkan tali. Aktiviti yang paling digemari adalah slot Science Fun iaitu pelajar dapat mempelajari cara menghasilkan dakwat, menghasilkan aiskrim dengan menggunakan garam dan ais kering dan lava gunung berapi.

Bagi guru pengiring, Norulhuda Legiman, mengharapkan aktiviti STEM seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan dapat menggalakkan pelajar sekolah untuk turut serta mencuba dan membina keyakinan diri.

Selain itu, pendedahan yang diterima pelajar dalam aktiviti hari ini mungkin tidak didapati di sekolah memandangkan kekangan peralatan serta bahan di makmal.  Aktiviti   berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata dan bergambar kenangan di dalam Galeri sebagai kenang-kenangan.

Disediakan oleh Nur Sa’adatul Afzan Jusoh dari Bahagian Komunikasi Korporat

 
TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri