Pelajar UMPSA disaran manfaat AI sebagai alat sokongan pembelajaran
PAYA BESAR, 20 September 2026 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) disaran agar memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat sokongan pembelajaran tanpa membiarkan teknologi itu menggantikan keupayaan mereka untuk berfikir dan membuat pertimbangan.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penggunaan AI perlu disertai dengan minda terbaik dengan keupayaan menyoal, menyemak fakta, menguji maklumat dan membuat pertimbangan sendiri bagi memastikan teknologi berkenaan digunakan secara bertanggungjawab.

“Gunakan AI sebagai co-pilot, bukan sebagai pengganti kepada fikiran sendiri.
“Tanyakan soalan, semak jawapan, uji fakta, buat pertimbangan dan yang paling penting, peliharalah integriti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda UMPSA bersempena dengan Majlis Puncak Siswa yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Paya Besar hari ini.
Menurut beliau, inovasi tidak semestinya bermula dengan teknologi canggih, sebaliknya bermula daripada rasa ingin tahu dan keberanian untuk mempersoalkan kaedah sedia ada bagi mencari penyelesaian yang lebih baik.
“Jangan hanya sekadar mengejar jawapan yang diberikan pensyarah.
“Belajarlah untuk bertanya dan mencuba kerana inovasi tidak akan lahir daripada manusia yang takut untuk mencuba,” katanya.
“Bidang kejuruteraan juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas sebagai usaha menyelesaikan masalah manusia menerusi ilmu, kreativiti dan teknologi,” ujarnya.
Katanya, teknologi tanpa nilai kemanusiaan hanyalah teknologi.
“Tetapi teknologi yang menyelesaikan masalah masyarakat, itulah kemajuan.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan mahasiswa bahawa penguasaan ilmu dan teknologi perlu disertai integriti, etika dan amanah.
“Kepintaran tanpa integriti boleh menjadi berbahaya. Ilmu tanpa etika boleh disalahgunakan, manakala kuasa tanpa amanah boleh merosakkan,” katanya.
“Dalam pada itu, pelajar bukan sekadar dipersiapkan untuk mencapai kecemerlangan akademik, tetapi dibentuk sebagai graduan masa hadapan yang mampu berhadapan dengan cabaran dunia sebenar.
“Untuk mencapai matlamat ini, terdapat enam kemahiran utama (skillsets) yang perlu saudara kuasai, iaitu keupayaan analitikal dan penyelesaian masalah, pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi, komunikasi dan pembentangan, kebolehsuaian serta pembelajaran berterusan dan kepimpinan serta kerja berpasukan,” katanya.
Ujarnya lagi, keenam-enam kemahiran ini merupakan asas penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja berilmu, malah berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi tuntutan dunia yang sentiasa berubah.
Beliau turut menyeru pelajar menghayati nilai ADAB yang merangkumi Aspire, Dynamic, Agile dan Balanced sebagai asas pembentukan diri sepanjang berada di universiti.
Katanya, pelajar perlu mempunyai cita-cita untuk menjadi lebih baik, bersedia berubah, pantas menyesuaikan diri dan mengekalkan keseimbangan dalam kehidupan.
“Saya mahu apabila pelajar yang meninggalkan UMPSA kelak, anda bukan sahaja membawa segulung ijazah, tetapi membawa watak seorang graduan UMPSA,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan pengalaman universiti dengan menyertai persatuan, aktiviti kesukarelawanan, penyelidikan, keusahawanan dan program antarabangsa.
Menurutnya, pengalaman berkenaan dapat membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah yang tidak semestinya diperoleh dalam bilik kuliah.

Dalam amanat sama, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang menjadi antara asas kejayaan mereka melanjutkan pengajian ke universiti.
“Di sebalik kejayaan seorang anak memasuki universiti, selalunya ada pengorbanan sebuah keluarga yang tidak pernah diceritakan,” katanya.
Beliau turut menyeru pelajar supaya memikirkan sumbangan yang boleh diberikan kepada universiti, masyarakat dan negara, selain memanfaatkan apa yang diperoleh sepanjang pengajian.
“Ilmu yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat dan alam sekitar,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober depan.
“Suruhanjaya Pilihan Raya MPP UMPSA perlu memastikan proses pemilihan kepimpinan pelajar dilaksanakan secara tersusun, adil, telus dan berintegriti.
“Manakala pelajar pula perlu menggunakan hak memilih dengan penuh tanggungjawab dan menilai calon berdasarkan keupayaan, karakter, idea serta kesediaan untuk berkhidmat.
“Pada kali ini, UMPSA menawarkan sebanyak 44 program Ijazah Sarjana Muda, termasuk program baharu yang ditawarkan buat pertama kali pada sesi ini, iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian, yang merupakan program pertama seumpamanya ditawarkan di universiti awam (UA) di Malaysia,” katanya.
Turut hadir menyantuni pelajar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Hajah Haryani Abdullah dan barisan pengurusan universiti.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 43 views
Reports by: