Pelajar universiti di Pantai Timur balik kampung Rabu ini
Kuantan, 27 April- Dijangkakan seramai 1680 pelajar dari negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman ke destinasi di negeri di Pantai Timur secara berperingkat mulai Rabu ini melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti. Di antara pelajar terlibat termasuklah daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UITM).
Perjalanan yang ditunggu-tunggu ini menamatkan tempoh selama 40 hari Pelajar menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kampus dan selepas ini mereka menjalankan PKP di rumah masing-masing.
Bagi memastikan proses pergerakan pelajar berjalan dengan lancar, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melantik ketua di beberapa zon bagi memastikan perancangan pergerakan pelajar ini dijalankan dengan teratur dan mematuhi Standard Operating Procedures (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, buat masa ini pihaknya menerima kebenaran daripada hanya melibatkan pelajar yang pulang ke kampung halaman dari zon hijau diberikan kebenaran. Perjalanan pertama pada 29 April ini melibatkan Zon Timur ke Zon Timur (Dalam Zon). Enam perjalanan dirancang selepas ini membabitkan perjalanan Zon Timur ke Zon Tengah, Zon Utara ke Zon Timur (2 Mei), Zon Timur ke Zon Utara dan Zon Tengah ke Zon Timur (3 Mei), Zon Timur ke Zon Selatan (6 Mei), Zon Selatan ke Zon Timur (7 Mei), Zon Perak ke Zon Timur (9 Mei) dan Zon Timur ke Zon Perak (10 Mei).
Beliau dilantik sebagai Ketua Zon Pantai Timur melibatkan penyelarasan dan data pelajar UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti dari Negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Beberapa siri perbincangan telah diselaraskan melibatkan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau. Persiapan rapi sedang dilakukan bagi menghantar para pelajar," katanya hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pulang Pelajar IPT Zon Timur di UMP Gambang.
Pihaknya mengenalpasti seramai 265 pelajar UMP, 15 Pegawai Perhubungan ( LO) dan 30 pemandu akan disaring sebelum pergerakan dibenarkan fasa pertama ini. Sebanyak 15 bas akan membawa pelajar dari UMP Kampus Gambang ke destinasi masing-masing.
Selain itu, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selsema dan sesak nafas) akan dijalankan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar. Pelajar diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial (social distancing), memakai topeng muka (face mask) di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai pensanitasi tangan (hand sanitizer).
- 346 views