Pembelajaran Aktif Perkasa Guru SK Menson melalui Inisiatif Profesor Turun Padang
CAMERON HIGHLANDS, 31 Oktober 2025 – Satu sesi pembangunan profesional yang interaktif dan santai telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Menson anjuran Pusat Bahasa Moden (PBM) dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sesi yang melibatkan 36 orang guru dan staf sokongan dalam program bertajuk Active Learning for the Instructors of the Orang Asli Learners adalah di bawah inisiatif Profesor Turun Padang.
Menurut Pensyarah Pusat Bahasa Moden, Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim merangkap ketua program, sesi ini adalah kesinambungan daripada sesi bersama murid Orang Asli yang diadakan pada 31 Oktober 2025 di SK Menson, Cameron Highlands.
“Sesi yang diadakan di kantin SK Menson dalam suasana yang mesra dan terbuka dengan fokus utama memperkenalkan kaedah pembelajaran aktif yang boleh disesuaikan dengan konteks pengajaran murid Orang Asli, serta mendorong guru untuk beralih daripada pendekatan pengajaran tradisional kepada kaedah yang lebih interaktif dan berpusatkan pelajar.
“Suasana santai di kantin sekolah memberikan ruang yang mesra dan kondusif untuk semua guru dan staf terlibat dalam aktiviti seperti Speed Talk dan Gallery Walk, dua kaedah interaktif yang mendorong pertukaran idea secara pantas dan visual.
“Melalui pendekatan ini, para peserta bukan sahaja berpeluang mencuba kaedah pembelajaran aktif secara langsung, malah dapat melihat potensi untuk menyesuaikannya dengan situasi kelas masing-masing,” katanya.
Tambahnya, inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) yang menekankan pendidikan inklusif dan bermutu tinggi serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) yang menggalakkan kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti.
“Dengan melibatkan guru secara langsung, program ini memberi ruang kepada transformasi amalan pengajaran melalui pendekatan yang lebih segar, aktif dan kontekstual, terutamanya dalam komuniti luar bandar seperti di Cameron Highlands.
“Melalui sesi seperti ini, UMPSA dan SK Menson menunjukkan komitmen bersama dalam memperkukuh profesionalisme pendidikan serta meningkatkan kualiti pengajaran untuk anak-anak Orang Asli melalui pendekatan yang mesra, praktikal dan mudah dilaksanakan,” ujarnya.
Sesi turut dibantu para fasilitator dari PBM yang memainkan peranan penting dalam melancarkan perjalanan aktiviti serta memberi sokongan langsung kepada para peserta sepanjang program berlangsung.
Disediakan Oleh: Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, Dr. Fatimah Ali, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, Mohd Shafeirul Zaman Abd Majid, Pusat Bahasa Moden
- 46 views
Reports by: