Skip to main content

Penganugerahan Iwate University Global Fellow pengiktirafan buat UMP

Pekan, 4 Februari- Kolaborasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Iwate University (IU) Jepun sejak tahun 2009 menerusi perkongsian penyelidikan, program pengajaran dan pembelajaran serta pertukaran budaya dan program mobiliti membabitkan pelajar dan pensyarah memanfaatkan kedua-dua pihak.
 
Memperkukuh hubungan bilateral kedua-dua institusi ini, pihak IU menganugerahkan "Iwate University Global Fellow’ buat mantan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), allahyarhamah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff yang telah meninggal dunia pada 24 Januari lalu. 

Sepanjang perkhidmatan di universiti ini, allahyarhamah pernah menggalas tanggung jawab sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti) dan jawatan lain dalam pentadbiran serta banyak menyumbang terhadap pembangunan penyelidikan dan inovasi terutamanya dalam bidang kejuruteraan kimia dan bioproses.
 
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff hadir menerima sijil dan cenderamata daripada Presiden IU, Akira Iwabuchi bersempena kunjungan rasmi delegasi IU ke UMP baru-baru ini.
 
Menurut Prof. Ir. Dr. Wan Azhar, sumbangan ini amat bermakna buat universiti dan seluruh warga universiti amat merasai pemergian allahyarhamah Profesor Dato’ Dr. Mashitah yang banyak menyumbang bakti dan jasa terutamanya terhadap  pembangunan dan penyelidikan di universiti ini.
 
“UMP sebagai salah sebuah rangkaian universiti teknikal Malaysia amat berbangga dengan pengiktirafan ini yang  menyumbang terhadap kecemerlangan universiti dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi serta hubungan sosial,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, Akira Iwabuchi berkata, penganugerahan ini sebagai pengiktirafan universiti buat tenaga pengajar yang telah menyumbang dalam pengajaran dan pembelajaran serta bergiat aktif dalam bidang penyelidikan di peringkat antarabangsa. 

“Penganugerahan ini sepatutnya disampaikan pada Majlis Sambutan Iwate University’s 70th Anniversary pada bulan November 2019 namun pada masa itu  Prof Dato Dr Mashitah tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan,” ujarnya. 

Tambahnya, beliau merupakan penerima ke-9 daripada 10 penerima yang pernah dianugerahkan oleh pihak IU.

Selain itu, beliau mengharapkan lebih banyak peluang kolaborasi dapat diteroka hasil hubungan erat antara UMP dan UI pada masa depan.
 
Hubungan erat ini dapat dilihat menerusi penganjuran bersama Asian Education and Research Consortium on Tool, Die & Mould Technology (2013) yang turut membabitkan gabungan empat universiti peneraju iaitu UMP, Iwate University (Jepun), Hanbat National University (Korea Selatan) dan Dalian University of Technology (China) bagi berkongsi kepakaran dalam bidang kejuruteraan ini. 
 
Hadir sama dalam majlis yang berlangsung di UMP Pekan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Dr. Mohd Azmir Mohd. Azhari.  
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri