Pensyarah FTKEE bangunkan kandungan digital untuk PdP
PEKAN, 25 Januari 2021 - Peranan universiti pada hari ini dilihat semakin mencabar. Tatkala Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berusaha keras menghasilkan graduan berkualiti bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan seiring dengan Revolusi Perindustrian (IR4.0), mereka juga berdepan cabaran penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia.
Cabaran ini diibaratkan sebagai satu anjakan paradigma bagi universiti untuk melihat semula peranan IPT dalam suasana norma baharu bagi mendepani era kepesatan teknologi masa kini.
Menurut Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal, staf akademik juga turut berdepan dengan amalan norma baharu seiring dengan corak pendidikan yang fleksibel dan transformasi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) hari ini.
“Penggunaan alat digital dalam pengajaran dan cara membangunkan kandungan digital termasuklah penggunaan video dan platform dalam talian bagi berinteraksi antara pelajar dan pensyarah amat penting.
“Bagi memudahkan para pensyarah, kami telah mengambil inisiatif menghasilkan satu studio berinovasi di fakulti bagi memastikan PdP secara dalam talian dapat dilaksanakan dengan lebih menarik dan interaktif.
“Studio tersebut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti papan cahaya (lightboard), layar hijau, tablet, kamera berkualiti tinggi dan penukar HDMI,” ujarnya.
Kajian untuk membangunkan studio ini telah dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020 yang melibatkan beberapa orang pensyarah dan staf teknikal.
Tambah beliau, perkakas-perkakas dipilih dengan teliti, papan cahaya direka khas sesuai dengan saiz bilik dan dinding dicat sendiri secara gotong-royong dengan warna yang sesuai.
“Masalah untuk menyampaikan pengajaran membabitkan subjek teknikal terutamanya program kejuruteraan telah memberikan kami idea umtuk menggunakan papan cahaya seolah-olah pelajar berada secara semuka serta penyampaian yang lebih interaktif,” katanya.
“Proses penghasilan video berkualiti tinggi dalam penyampaian secara tradisional adalah rumit dan memerlukan kepakaran yang tinggi dalam penyuntingan video.
“Studio di FTKEE UMP direka khas supaya proses penghasilan video ini dapat dipendekkan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa kemahiran penyuntingan video.
“Dengan adanya beberapa perkakasan yang telah disusun sempurna di dalam studio, pensyarah dapat menyediakan bahan dengan lebih mudah di sini secara guna sama,” katanya.
Menurut beliau lagi, kebanyakan daripada pensyarah tidak pernah membaca berita atau berlakon.
“Apabila kita cuba merakam video di awal PKP pertama dahulu, kita tidak boleh elak dari berasa janggal dan kekok.
“Perasaan ini semakin menebal sekiranya terdapat individu lain yang memerhatikan proses rakaman tersebut.
“Namun lama kelamaan perasaan itu berkurangan setelah kita biasa dengannya dan untuk mempercepatkan proses membiasakan diri pensyarah bercakap depan kamera ini, studio FTKEE UMP direka supaya semua perkakasan boleh dikendali dengan mudah.
“Seorang pensyarah boleh mengendali semua perkakasan dan merakam tanpa pertolongan sesiapa,” tambahnya lagi.
Sejak Mei 2020 hingga November 2020, FTKEE telah menghasilkan lebih dari 800 buah video bagi kegunaan PdP.
Beliau amat bangga dengan komitmen yang diberikan oleh staf fakulti semasa PKP 2020.
Malah, beliau turut mengakui bahawa proses yang dilalui sangat mencabar.
“Norma baharu pembelajaran menuntut para pensyarah untuk mendalami pelbagai ilmu dan kemahiran.
“Ilmu rakaman video, ilmu membuat animasi, kemahiran bercakap di hadapan kamera sambil mengekalkan hubungan mata, dan ilmu membuat soalan cara baharu dalam Moodle dan Google Form hanyalah sebahagian kecil dari penerokaan yang kami lakukan sejak Mac 2020.
“800 buah video rakaman itu merupakan tanda usaha gigih staf akademik FTKEE,” katanya.
Menurut Profesor Madya Dr. Hamdan perjalanan masih jauh.
“Sungguhpun banyak video berjaya dihasilkan, namun video-video tersebut masih di peringkat awal.
“Matlamat UMP adalah untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang bermakna.
“Video memainkan peranan yang besar dan proses pembelajaran menuntut komitmen yang lebih tinggi daripada para pensyarah dan yang lebih utama ialah para pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (PSPe) di universiti ini juga telah melaksanakan pelbagai kursus kepada pensyarah sebagai persediaan untuk memberi pendedahan dalam penggunaan teknologi digital termasuklah pendedahan kepada pensyarah kanan.
Sehingga kini, kampus universiti beroperasi secara terhad dan proses pembelajaran dilakukan secara dalam talian dengan amalan norma baharu dan telah menjadi kebiasaan buat pelajar sejak setahun lalu.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 149 views