Skip to main content

Perhimpunan 120 kenderaan mewah dan antik curi tumpuan pelajar UMPSA

GAMBANG, 4 Ogos 2024 – Seramai 120 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) teruja menyaksikan perhimpunan 120 kenderaan mewah dan antik di Pekarangan Canseleri UMPSA Kampus Gambang dalam program Ramah Mesra dan Perhimpunan Kereta Mewah dan Antik sempena penganjuran Pesta Kuantan 188.

Deruman kenderaan memecah kesunyian kampus apabila kenderaan mulai tiba jam 8.30 pagi yang disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA. 

Hadir sama Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Haji Abd Wahit.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, perhimpunan kenderaan mewah dan antik  di UMPSA ini menjadi tarikan buat pelajar dan pihak UMPSA berbesar hati apabila dipilih sebagai destinasi persinggahan yang memberi peluang buat warga menyaksikan sendiri kenderaan mewah dan antik yang ‘bernilai tinggi’ bersempena Pesta Kuantan 188.

“Terima kasih kepada pihak Menara 188 dan tiga persatuan permotoran yang terdiri daripada Porsche Club Malaysia, The Driverz dan Kelab Kereta Antik Pahang yang menjadikan UMPSA sebagai destinasi persinggahan sebelum bergerak menuju ke Kuantan dalam menjayakan program K188 Cars & Coffee sempena Pesta Kuantan 188,” katanya.

Perhimpunan 120 kenderaan mewah dan antik curi tumpuan pelajar UMPSA

 
Malahan, warga UMPSA dapat bersama-sama menjayakan program ini sebagai tanda sokongan penganjuran Program Pesta Kuantan 188 2024 yang diadakan bersempena memuliakan Sanbutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 30 Julai 2024 dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang pada 5 Ogos 2024.
 
Ujarnya, pada masa yang sama program ini dapat memberi peluang para peserta konvoi beramah mesra dengan warga UMPSA selain berinteraksi  dan mengeratkan hubungan serta menyokong aktiviti penjenamaan universiti.
 
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada warga UMPSA terutama pelajar yang meminati dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi dengan mempelajari tentang ciri-ciri kecanggihan pada kenderaan yang dipamerkan,” katanya. 
 
Presiden Kelab Kereta Antik Pahang, Mohd Amirul Ihsan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada UMPSA yang memberikan layanan yang terbaik serta sambutan daripada pelajar yang amat luar biasa. 
 
Manakala menurut pelajar Program Asasi Sains dan Teknologi, Sharifah Maisarah Syed Ahmad Faris Aljunid, 18,  beliau sangat teruja apabila dapat melihat sendiri pelbagai jenis kenderaan mewah dan antik.
 
“Pemilik kenderaan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai teknologi dan keunikan kenderaan mereka.
 
“Lebih mengembirakan, saya turut terpilih menerima Baucer Tiket Menara Kuantan 188 dalam sesi cabutan bertuah,” katanya. 

Pengalaman manis ini amat bermakna baginya yang merupakan pelajar baharu  mendaftar  pada penghujung bulan Julai lalu.
 
Selain pameran K188 Cars and Coffee, Pesta Kuantan 188 yang berlangsung selama tiga hari sejak 2 hingga 4 Ogos itu turut menganjurkan Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 dan perlumbaan K188 Fun Race yang mendapat sambutan rakyat di negeri Pahang. 
 
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris