Pilih untuk Berkongsi, 4 penaja hulur bantuan buat pelajar UMPSA
PEKAN, 11 Disember 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sumbangan daripada empat penaja utama dalam Majlis Penyerahan Pilih untuk Berkongsi anjuran Yayasan UMPSA yang diadakan di Dewan Bankuet UMPSA Pekan.
Sumbangan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban mahasiswa melalui pelbagai inisiatif pendidikan yang disalurkan oleh penaja-penaja yang terlibat iaitu Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Pahang, Yayasan Pelajaran MARA dan Ekuiti Nasional Berhad.
Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha hadir bagi merasmikan majlis.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penaja yang telah memberikan sokongan kepada pelajar UMPSA.
“Semoga sumbangan ini dapat memberikan manfaat kepada mereka dalam meneruskan pengajian tanpa sebarang halangan kewangan.
“Saya juga berharap agar kerjasama erat ini dapat diteruskan antara pihak universiti dan organisasi luar dalam usaha membantu kebajikan para pelajar UMPSA.
“Dengan kerjasama yang kukuh ini, pihak universiti juga berharap lebih ramai pelajar UMPSA akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah kewangan,” ujarnya.
Majlis itu turut dihadiri oleh wakil daripada penaja utama iaitu Pengarah Negeri Pahang Lembaga Tabung Haji, Tuan Haji Rosdi Dollah, Pengurus YAPEIM Pahang, Nor Khalilah Hanim Hamid dan Pegawai Eksekutif Bahagian Pembangunan Insan, Yayasan Pelajaran MARA, Aidah Hussain yang menyampaikan sumbangan untuk disalurkan melalui beberapa program bantuan pendidikan yang disasarkan kepada mahasiswa UMPSA.
Empat penaja yang terlibat dalam penyerahan ini adalah Lembaga Tabung Haji dengan jumlah sumbangan sebanyak RM550,000, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan sumbangan RM110,000, Yayasan Pelajaran MARA yang menyumbang RM30,000, dan Ekuiti Nasional Berhad yang memberi sumbangan sebanyak RM25,000.
Seramai 30 orang pelajar UMPSA terlibat dalam penerimaan bantuan ini, dengan 10 orang bagi setiap inisiatif.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Ir Ts Dato Dr Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Ts Dr Mohamad Rusllim Mohamed dan Pengurusan Universiti.
Majlis ini juga merupakan satu simbolik kerjasama antara Yayasan UMPSA dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dalam usaha memastikan pelajar dapat menikmati pendidikan yang lebih baik tanpa dibebani masalah kewangan.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 68 views