Pilihan Raya Kampus UMPSA bukti kematangan mahasiswa dalam amalan demokrasi
GAMBANG, 5 November 2025 – Suasana demokrasi kampus di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus subur dan bersemangat apabila Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026 berlangsung dengan jayanya apabila mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 63.36 peratus yang melibatkan seramai 8,547 mahasiswa yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Tahun ini menyaksikan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Pusat Sains Matematik (PSM) mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran sivik dan komitmen mahasiswa terhadap amalan demokrasi kampus.
Kejayaan penganjuran pilihan raya itu juga turut digerakkan di bawah kepimpinan Pengerusi Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP), Saudari Maryam Mohamad Jais, dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) yang mengetuai pelaksanaan pelbagai inisiatif promosi dan advokasi awal.
Antara usaha tersebut termasuk kempen kesedaran digital, hebahan di media sosial serta aktiviti turun padang di setiap fakulti, bagi menggalakkan lebih ramai mahasiswa turun mengundi.
Menurut Maryam, kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UMPSA kini semakin matang dalam menilai kepimpinan dan berani menyuarakan aspirasi mereka melalui saluran demokratik.
“Kami amat berbangga dengan semangat mahasiswa UMPSA yang menjadikan pilihan raya kampus bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform pembelajaran kepimpinan sebenar,” katanya.
Sebanyak 53 calon bertanding bagi merebut lapan kerusi umum dan 19 kerusi fakulti dengan suasana persaingan yang sihat dan penuh profesionalisme.
Sepanjang tempoh berkempen, calon turut menampilkan keberanian dan kreativiti dalam menyampaikan idea dan hala tuju kepimpinan masing-masing.
Dalam keputusan rasmi yang diumumkan, Muhammad Amirul Haziq Khairul Nizam dari FTKKP muncul sebagai penerima undi tertinggi bagi kerusi umum dengan 5,983 undi, sekali gus membuktikan keyakinan mahasiswa terhadap kredibiliti dan keupayaan kepimpinannya.
Majlis pengumuman keputusan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof.esor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu MPP.
“Kepimpinan mahasiswa ialah cerminan masa depan negara.
“Barisan MPP yang baharu bukan sekadar pemegang jawatan, tetapi penerus legasi perjuangan mahasiswa terdahulu dalam membina kampus yang inklusif, berdaya saing dan berpaksikan ADAB dan ilmu.
“Agenda Pemerkasaan Mahasiswa perlu diteruskan melalui pengukuhan daya kepimpinan, kebajikan, dan keterlibatan aktif dalam dasar pembangunan universiti,” ujar beliau.
Penganjuran pilihan raya kali ini sekali lagi mengukuhkan peranan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, tetapi turut memberi ruang kepada pembangunan kepimpinan dan semangat kenegaraan dalam kalangan mahasiswa.
Disediakan oleh: Safriza Binti Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 73 views