Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim dilantik TNC (Penyelidikan dan Inovasi) baharu UMPSA
PEKAN, 21 September 2026 – Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim yang sebelum ini Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, kini dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang baharu berkuat kuasa pada 21 September 2026 sehingga 20 September 2028.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 45 tahun itu merupakan profesor dalam bidang Kimia Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan telah berkhidmat di universiti ini sejak tahun 2005.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menyumbang secara signifikan dalam pembangunan akademik, penyelidikan dan inovasi universiti serta pernah memegang jawatan sebagai Dekan FSTI.
Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam Kimia daripada Cardiff University, United Kingdom, di bawah penyeliaan tokoh terkemuka dalam bidang pemangkinan, Regius Prof. Graham J. Hutchings CBE, FRS.
Beliau turut memiliki Sarjana Sains (M.Sc.) dalam Pemangkinan dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kimia Petroleum dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kepakaran penyelidikan beliau merangkumi pemangkinan heterogen, valorisasi sisa dan biojisim, penukaran pemangkin hidrokarbon, pembangunan bahan dan formulasi kimia, serta teknik pencirian termaju.
Penyelidikan beliau memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi pemangkin lestari bagi menukarkan bahan mentah boleh baharu dan tidak boleh baharu kepada bahan kimia bernilai tinggi, bahan termaju dan bahan api hijau.
Antara bidang penyelidikan semasa beliau termasuk valorisasi biojisim lignoselulosa, selulosa, lignin, gliserol dan karbohidrat; pembangunan polimer berasaskan bio dan boleh dikitar semula seperti vitrimer; pengoksidaan pemangkin dan penyahsulfuran; penggunaan sisa industri sebagai bahan mentah dan pemangkin; teknologi sokongan pemangkin seramik; serta teknologi berasaskan alga.
Pernah memegang jawatan sebagai Dekan FSTI dan dengan pengalaman lebih 21 tahun dalam bidang akademik dan penyelidikan, Profesor ChM Dr. Hasbi mempunyai rekod yang kukuh dalam penyelidikan, inovasi, harta intelek, pengurusan geran dan kerjasama industri.
Beliau juga aktif membimbing penyelidik muda serta pelajar pascasiswazah di peringkat sarjana dan doktor falsafah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat penyelidikan negara.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas pelantikan ini.
“Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman dan komitmen beliau dalam memacu kecemerlangan penyelidikan dan inovasi universiti.
“Saya yakin beliau mampu meneruskan momentum kecemerlangan UMPSA dalam memperkukuh budaya penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas jaringan kerjasama strategik bersama industri dan institusi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Saya juga berharap agar Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim akan menggalas tanggungjawab mengetuai penyelidikan dan inovasi serta terus menyumbang kepada kesinambungan pencapaian ke arah kecemerlangan UMPSA,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang telah menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA sejak 4 Jun 2026.
Terdahulu, Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi tiba di perkarangan Lobi Canseleri Tun Abdul Razak pada jam 8.30 pagi dan disambut oleh barisan pengurusan universiti serta warga kerja UMPSA sempena hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 57 views
Reports by: