Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim terima gelaran Profesor Emeritus UMPSA
GAMBANG, 26 Oktober 2024 - Mantan Naib Canselor Ketiga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Mohd. Nasir Daing Ibrahim dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.
Beliau yang merupakan Rektor OXUS University di Uzbekistan menerima anugerah yang dikurniakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini di Majlis Konvokesyen Ke-19 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim telah berkhidmat selama 11 tahun bermula dari tahun 2008 hingga 2019.
Bagi Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, pendidikan harus bertujuan untuk membangunkan individu yang berpengetahuan luas.
“Walaupun kemahiran saintifik dan teknologi, seperti yang difokuskan di UMPSA adalah penting untuk kesediaan kerjaya dalam pasaran kerja yang berkembang pesat, pendidikan kemanusiaan mampu memupuk pemikiran kritis,kreativiti dan penaakulan beretika.
“Malahan perubahan iklim, kesihatan awam dan keadilan sosial memerlukan pendekatan antara disiplin.
“Menggabungkan pengetahuan saintifik dengan pandangan daripada aspek kemanusiaan boleh membawa kepada penyelesaian inovatif yang bertanggungjawab dari segi sosial serta sensitif budaya.
“Program antara disiplin yang menggabungkan Sains dan Teknologi dengan mata pelajaran kemanusiaan, umpamanya kursus yang meneroka implikasi etika kecerdasan buatan atau impak bioteknologi kepada masyarakat boleh merapatkan bidang ini,” ujarnya.
Katanya, dalam usaha untuk mengalakkan pelajar untuk melibatkan diri dalam projek yang memerlukan kedua-dua inkuiri saintifik dan analisis kemanusiaan, umpamanya projek mengenai tenaga yang boleh diperbaharui boleh merangkumi bukan sahaja aspek teknikal pengeluaran tenaga tetapi juga perbincangan mengenai etika alam sekitar dan kesan ke atas komuniti.
Pada majlis tersebut, Tuanku Pro-Canselor bercemar duli bagi menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 348 penerima ijazah doktor falsafah (PhD) dan ijazah sarjana serta 64 graduan ijazah dan 21 penerima anugerah kecemerlangan pada sesi 1.
Selain itu, buat pertama kalinya seramai tiga orang graduan perintis program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian iaitu seorang dari UMPSA dan dua orang dari Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan menerima dua ijazah serentak bagi program kerjasama ijazah dual.
Hadir sama Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang bermula hari ini menyaksikan seramai 5,115 graduan bagi tahun 2024 yang terdiri daripada graduan ijazah doktor falsafah (83) dan ijazah sarjana (180), ijazah sarjana muda (2538), ijazah dual (64) dan diploma (533) serta graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced (1,717) menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 71 views