Program Cendekiawan Mulia UMP bincang isu semasa
Pekan, 30 Januari- Universiti Malaysia Pahang ( UMP) menganjurkan Program Siri ke-7 Bicara Cendekiawan Mulia UMP yang membicarakan topik wacana “Terrorism : Pengaruh & Ancaman Dalam Negara Bangsa" dengan menampilkan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman), DCP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam perkongsiannya, beliau menyatakan semua pihak perlu berperanan dalam menangani keganasan dan bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat.
Malahan, orang ramai terutamanya golongan belia perlu membina pengetahuan dari perspektif agama mahupun mengenai isu keganasan dan ideologi ekstrem yang kini menular di kalangan belia berikutan penyebaran dakyah secara kreatif menggunakan media sosial dan aplikasi telefon.
Katanya, negara ini tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti keganasan atau terrorisme yang boleh memberi ancaman kepada aspek keselamatan negara mahupun global.
Ianya boleh dilihat seperti usaha memerangi aktiviti rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daish di Syria dan terdapat sokongan untuk menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE.
Dalam pada itu, penganjuran program Siri Bicara Cendekiawan Mulia ini dilaksanakan sebagai wadah menimba ilmu untuk dimanfaatkan bersama masyarakat khususnya di negeri Pahang.
Pengerusi program, Prof Madya Dr Jamal Rizal Razali daripada Pusat Sains Kemanusiaan berkata, Siri Bicara Cendekiawan Mulia UMP ini yang dimulakan sejak 25 Jun 2019 lalu adalah merupakan sebuah medan wacana bulanan yang menampilkan tokoh-tokoh berwibawa dari dalam dan luar Malaysia.
“Tokoh-tokoh ini berperanan untuk mengupas isu-isu semasa yang merentasi pelbagai dimensi dari aneka sudut pandang bagi manfaat warga UMP dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Antara tokoh yang telah mewarnai program ini termasuklah Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim tokoh dan Tan Sri Dr.Rais Yatim, Pengasas Yayasan Budi yang membicarakan tajuk "Bahasa Melayu dan Cabaran Pemerkasaan Identiti Nasional Dalam Era Malaysia Baharu".
Program yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP Pekan dihadiri Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan 2 KCK Risikan dan Operasi Pahang, YDH ACP Daud Omar.
UMP yang memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi terus berperanan sebagai agen transformasi yang melewati parameternya sebagai sebuah menara gading. Ianya bagi memastikan kepakaran teknologinya dapat dibawa ke lapangan, penghasilan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi dan memacu keupayaan teknikal di negara ini.
- 81 views