Skip to main content

Program Ijazah Dual UMPSA- KazNARU raih pujian Menteri KPT di Kazakhstan

ASTANA, KAZAKHSTAN, 26 September 2026 - Kejayaan program kerjasama Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan mendapat pujian Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir semasa Majlis Syarahan Umum bertajuk ‘Geopolitik Intelektual: Ilmu Merentas Sempadan dan Peranan Universiti Menyelesaikan Masalah Tamadun’ yang berlangsung di Eurasian National University L.N. Gumilyov (ENU), Kazakhstan.

Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry juga menerima penganugerahan gelaran Profesor Kehormat daripada Universiti Nasional Eurasia L.N. Gumilyov.

Majlis turut dihadiri delegasi UMPSA yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh. 

Hadir sama Pengarah Pusat Senat, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HJEAA), Nor Ashikin Sulaiman.

Majlis ini merupakan sebahagian daripada agenda penganjuran Malaysia-Central Asia Higher Education Forum (MAHEF2026) bertemakan ‘Advancing Malaysia – Central Asia in Higher Education Transformation’ anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) di Astana, Kazakhstan yang berlangsung bermula 25 hingga 28 September 2026.

Dalam Syarahan Umum beliau, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry memuji UMPSA sebagai kisah kejayaan dan model ikonik kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-Kazakhstan.

“Saya mahu beri pujian khas kepada UMPSA kerana kita tidak mempunyai kepakaran tertentu, kita hantar pelajar kita belajar di sini selama setahun untuk melengkapkan pengajian mereka. 

“Mereka belajar, mereka balik dan mereka memberi manfaat kepada kedua-dua negara. 
“This is what we call international quality education,” ujarnya.

Katanya lagi, program kerjasama Ijazah Dual UMPSA ini bukan sekadar pelajar dapat dua ijazah, dua universiti. 
“Ia melahirkan generasi baharu yang boleh berfikir dalam era AI, yang boleh berinovasi. 

“Mereka belajar bahasa baharu, budaya baharu, teknologi baharu. 

“Inilah mobiliti sebenar yang kita mahukan di KPT,” jelasnya. 

Tambahnya lagi, kita berbangga dengan kejayaan UMPSA sebagai perintis program ini. 

“Model 3+1 tahun ini (3 tahun di Malaysia, 1 tahun di Kazakhstan) memberi pelajar pendedahan terbaik kepada industri, penyelidikan vaksin, bioteknologi veterinar yang tidak ada di tempat lain. 

“Ilmu itu untuk kedua-dua negara dan komuniti. Inilah bukti ilmu tidak mengenal sempadan,” katanya.

Beliau menegaskan, kejayaan UMPSA itu selari dengan lima tonggak kerjasama Malaysia-Kazakhstan iaitu mobiliti pelajar, kerjasama penyelidikan, pendidikan digital dan teknologi, kajian tamadun dan budaya, serta pembangunan insan.

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Kamal  Yusoh yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menyifatkan pujian ini sebagai satu pengiktirafan besar kepada usaha universiti dalam memperkasa program antarabangsa berimpak tinggi di rantau Asia Tengah.

“UMPSA sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia termasuk program ijazah dual hasil kolaborasi dengan rakan strategik antarabangsa dari Jerman, China, Korea Selatan dan Kazakhstan.

Forum ini berjaya menghimpunkan pemimpin dan wakil IPT turut diadakan bagi membincangkan perihal mobiliti pelajar dan pensyarah, kerjasama penyelidikan serta hubungan antara universiti yang dapat memberikan manfaat bersama.

Delegasi UMPSA juga berpeluang melawat ke Pusat Kecerdasan Buatan Alem AI (Alem AI Centre) yang memberi pendedahan mengenai ekosistem Kecerdasan Buatan dalam bangunan lapan tingkat yang menempatkan sekolah AI, makmal penyelidikan dan kampus syarikat pemula.

Disediakan Oleh: Nor Ashikin Sulaiman, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri