Program Kelestarian EKSA UMPSA cipta persekitaran kerja lebih hijau, bersih, dan kondusif
PEKAN, 19 Oktober 2024 - Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Ke-19 (MKK19) baru-baru ini, Unit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pusat Bahasa Moden (PBM), dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) telah menganjurkan Program Kelestarian EKSA.
Inisiatif ini melibatkan penanaman 19 pokok pada 19 Oktober lalu di Rimba Komuniti UMPSA Pekan sebagai simbolik bagi meraikan MKK19.
Pelaksanaan program ini turut mendapat bantuan daripada tiga staf Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) yang bertanggungjawab dalam penyediaan lokasi dan pokok bagi program ini.
Program Kelestarian EKSA itu diadakan bertujuan untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih hijau, bersih, dan kondusif.
Menerusi konsep EKSA, persekitaran yang berkualiti dan selamat menjadi keutamaan, namun ia turut memberi tumpuan kepada kelestarian alam melalui amalan hijau.
Langkah ini adalah bukti komitmen UMPSA dalam menanam kesedaran dan menggalakkan amalan hijau dalam kalangan warga universiti.
Program dimulakan dengan simbolik perasmian oleh Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi yang membuka tirai untuk memperlihatkan susunan pokok kaktus yang membentuk angka 19 bagi melambangkan MKK19.
Majlis diteruskan dengan penyerahan pokok oleh wakil PJIM, Rozana Sahadan, dan seterusnya penyerahan pokok hiasan untuk PBM oleh Penyelaras Unit EKSA PBM.
Inisiatif pokok hiasan pejabat ini bukan sahaja menambah elemen hijau malah menggalakkan amalan kelestarian yang berterusan di PBM.
Menurut Dr. Nik Aloesnita, setiap staf perlu memainkan peranan dalam mentransformasikan persekitaran tempat kerja yang kondusif khususnya dalam suasana persekitaran yang memelihara kelestarian alam sekitar.
“Ini adalah kerana persekitaran yang baik akan menciptakan suasana tempat kerja yang lebih harmoni dan seimbang untuk mencapai tahap kesihatan yang baik.
“Usaha kecil seperti ini adalah langkah awal ke arah transformasi dalam amalan hijau di kampus,” ujarnya.
Eksekutif Teknikal PJIM, Yusmin Jaffar turut memberi taklimat ringkas mengenai tatacara penanaman pokok.
Manakala menurut Guru Bahasa, Shamsul Harbi, menerusi program ini beliau berjaya mengetahui tentang kaedah dan proses tanaman pokok dengan lebih lanjut termasuk cara penjagaan pokok-pokok.
Semoga usaha ini memberikan manfaat kepada universiti ini dan diharapkan usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Disediakan Oleh: Hanisah (BON) Kasbon dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 18 views