Skip to main content

Program Kembara Prihatin UMPSA@Bumi Kenyalang santuni pelajar sekolah sekitar Belaga

BELAGA, SARAWAK, 16 Ogos 2024 - Program Kembara Prihatin UMPSA@Bumi Kenyalang 2.0 memberi inspirasi buat pelajar sekolah untuk melangkah lebih jauh menggapai impian cemerlang dengan menyertai pelbagai aktiviti yang menyeronokkan bersama sukarelawan Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan rakan strategik, Institut Kemahiran MARA (IKM), Bintulu baru-baru ini di Belaga. 

Hampir 500 pelajar Sekolah Kebangsaan Long Gang, Belaga turut terima manfaat apabila menerima sumbangan daripada pelbagai pihak bersempena pada program kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Jaafar berkata, program ini melibatkan 24 orang pelajar dan alumni UMPSA serta 12 orang pelajar IKM. 

“Selain program akademik, bantuan peralatan asrama, Kit Bantuan Prihatin kepada staf, Peralatan keperluan kelengkapan sekolah dan pemasangan solar panel,” katanya. 

Program Kembara Prihatin UMPSA itu turut mendapat kerjasama daripada pihak Yayasan EZ Prihatin, Yayasan, PEKEMA, Yayasan Kubra dan Pelangi Publishing Regional Development Community Berhad (RDC). 

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Long Gang Belaga, Jimmie Jonical Bilong turut mengucapkan terima kasih kepada pihak UMPSA yang telah bertandang ke sekolah ini sejak Selasa lalu. 

Program Kembara Prihatin UMPSA@Bumi Kenyalang santuni pelajar sekolah sekitar Belaga

“Pelbagai aktiviti yang dijalankan selama empat hari melibatkan semua murid di sekolah. 

“Saya dapat lihat kegembiraan para pelajar sekolah ini yang dapat berjumpa dengan sukarelawan dan menerima sumbangan kelengkapan asrama ini,” katanya. 

“Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan untuk menyantuni murid sekolah di kawasan pendalaman di sini,” katanya. 

Jelas beliau lagi, pelbagai aktiviti yang telah dikelolakan oleh sukarelawan UMPSA dan rakan kerjasama banyak memberi manfaat dan impak yang tinggi kepada pelajar seperti bengkel-bengkel pembelajaran dan program kemasyarakatan. 

Sukarelawan Yayasan UMPSA turut menyantuni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun melalui aktiviti-aktiviti seperti program Inspire yang menggarap nilai-nilai utama seperti kerjasama, kepimpinan, dan kebijaksanaan. 

Turut diadakan program Inspire dan motivasi serta pameran akademik yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang pelbagai bidang di peringkat universiti. 

Program ini juga merupakan sebahagian usaha bagi mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG keempat bagi menjamin pendidikan berkualiti bagi menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuliti serta menggalakkan peluang pembelajaran kepada semua lapisan umur dari pelbagai bangsa dan agama. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris