Program Kembara Prihatin Yayasan UMP dekati komuniti Pekan
PEKAN, 18 Jun 2023 - Program Kembara Prihatin@Masjid at-Taqwa anjuran Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membuka tirai beberapa siri Program Kembara Prihatin UMP 21 yang bakal dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih termasuklah di negeri Pahang, Johor, Sabah, Thailand dan Indonesia dalam menimba pengalaman dan menyantuni masyarakat.
Dalam program yang berlangsung baru-baru ini telah membabitkan seramai 46 pelajar UMP berpeluang tinggal bersama ibu bapa angkat masing-masing bagi mengeratkan hubungan baik dengan memberi pendedahan buat pelajar untuk berbakti dengan masyarakat luar bandar.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Nur Sharmila Shaheen yang hadir menyertai program, penglibatan pelajar bagi program kembara ini dapat menyantuni komuniti setempat di samping menyalurkan maklumat serta mempromosikan penjenamaan universiti.
“Ia juga selari dengan hasrat dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat,” katanya.
Selain itu, program ini turut menyokong usaha UMP yang menjadikan aktiviti kesukarelawanan sebagai agenda penting dalam melahirkan pelajar yang terampil dan warga UMP yang prihatin.
Dalam program itu, pelajar dan komuniti setempat dapat menyertai pelbagai aktiviti bersama-sama antaranya kursus masakan, kursus gubahan, servis menukar minyak hitam dan gunting rambut secara percuma serta pemeriksaan kesihatan.
Turut berlangsung acara sukaneka, mewarna kanak-kanak, rewang memasak bubur daging dan agihan sumbangan Yayasan UMP kepada keluarga berkeperluan .
Hadir merasmikan program Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid at-Taqwa Pekan, Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan.
Turut sama Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar dan Pengurus Program, Nurizzaty Arifin.
Sementara itu, bagi Bendahari Masjid at-Taqwa, Ali Badaruddin Othman, 81 dari Kampung Dato’ Shahbandar Pekan berkata, keluarganya bertuah kerana diberi peluang menerima empat pelajar dalam program anak angkat UMP bersempena kembara ini.
“Mereka adalah Ahmad Aiman Afiq Mohd Khairul, Bayu Hanafi Norhazilan, Hanif Masuot dan Muhammad Zarif Zakwan Jazam.
“Bagi saya, program ini dapat memberi manfaat pelajar dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan yang diharapkan akan berterusan dan bukan sahaja sewaktu mengikuti pengajian,” katanya.
Dalam pada itu, program mendapat kerjasama Adabi Consumer Industries Sdn .Bhd. (Adabi), Kolej Komuniti Pekan, Giat MARA Pekan, BS Freshmart Peramu, Satok Bridge Digital Sdn. Bhd., Hardex Corporation Sdn. Bhd., Unit Farmasi Pejabat Daerah Pekan dan sokongan jabatan dalam universiti.
Program Kembara ini dijadualkan bakal diteruskan di daerah Kota Tinggi, Semporna, Cameron Highlands dan Sungai Koyan.
Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhammad Shukri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 146 views