Skip to main content

Program Mobiliti Malaysia-China Advanced TVET (MyChat24) beri pengalaman berbeza kepada pelajar

PEKAN, 2 Julai 2024 – Program Mobiliti Malaysia-China Advanced TVET (MyChat24) Fasa 3 telah berlangsung baru-baru ini di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China selama sembilan hari.

Seramai 34 orang pelajar dan empat orang staf dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima sijil tamat latihan dan kemahiran daripada LRVTC yang disampaikan oleh Presidennya, Qin Haibo di dalam satu majlis yang di telah adakan di LRVTC.

Selain daripada pelajar dan staf UMPSA, terdapat 40 orang pelajar dan staf daripada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) lain turut sama menerima Sijil Tamat Latihan dan Kemahiran seperti Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Infrastructure Unijversity Kuala Lumpur (IUKL), Yayasan Pahang Advanced Skills, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan dan Kolej Komuniti Masjid Tanah, Melaka.

Pihak LRVTC memuji komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta dalam menjalani sesi latihan ini dan berharap agar latihan serta pengetahuan yang disampaikan oleh tenaga pengajar di LRVTC itu dapat membantu dalam mempertingkatkan pengetahuan dan skil berkaitan penyelenggaraan dan operasi rel. 

Program Mobiliti Malaysia-China Advanced TVET (MyChat24) beri pengalaman berbeza kepada pelajar

Menurut Darwishah, pelajar tahun dua dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), UMPSA yang terpilih mengikuti program itu mengakui teruja kerana dapat menyertai program itu. 

“Program ini memberi peluang kepada saya untuk belajar perkara baharu dan membantu untuk menyumbang kepada masyarakat. 

“Saya berharap dapat memberikan yang terbaik dan memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kemahiran saya. 

“Fasiliti yang disediakan sepanjang menjalani kursus di sana sangat lengkap dan moden,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, kerja lapangan yang ‘real’ menjadikan saya lebih memahami perkara yang diajar oleh pensyarah di sana. 

“Selain dapat mempelajari kemahiran baharu dalam bidang tersebut, saya juga diberi peluang untuk mempelajari budaya dan tradisi masyarakat di sana.

“Program mobiliti ini juga dapat menambah pengetahuan berkenaan nilai dan etika serta amalan positif dari negara luar sebagai panduan kehidupan seharian,” ujarnya. 
Program Mobiliti Antarabangsa itu juga merupakan salah satu agenda pengantarabangsaan mahasiswa menerusi Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bagi Objektif Strategik 6 iaitu Pengantarabangsaan dan Keusahawanan Mahasiswa seiring dengan KPI di bawah Critical Agenda Program (CAPS) pengantarabangsaan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN).

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad