PROTON Business Case Study Challenge – East Coast Region di UMPSA perkasa analitis, inovasi dan kolaborasi industri mahasiswa Pantai Timur
KUANTAN, 30 November 2025 - Seramai 80 orang peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) Pantai Timur telah menyertai program PROTON Business Case Study Challenge – East Coast Region dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri, Jaringan Industri & Masyarakat (ICON), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di UMPSA Kampus Gambang.
Program memperlihatkan potensi besar pembangunan bakat mahasiswa melalui penyelesaian isu perniagaan sebenar industri automotif dalam ini menjadi platform penting dalam memupuk pemikiran strategik, keupayaan analitis serta inovasi perniagaan dalam kalangan pelajar.
Penganjuran peringkat Pantai Timur di UMPSA ini dilihat sebagai salah satu komitmen berterusan PROTON untuk memperluas pencarian bakat muda di seluruh negara selepas kejayaan edisi sulung pada 2024.
Dengan peningkatan rangkuman kepada enam wilayah pada 2025, program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu ekosistem pembangunan bakat yang menghubungkan universiti dengan keperluan sebenar industri automotif nasional.
Majlis turut dihadiri barisan pengurusan PROTON yang terdiri daripada Senior Director of Corporate Strategy, Yusri Yusuf, Senior Manager, Organizational Development & Culture, Azham Mat Yasir dan Deputy Head, PROTON Parts Centre Sdn. Bhd., Yeo Kheng Keen yang juga bertindak sebagai panel juri pertandingan.
Kehadiran mereka memberi nilai tambah kepada pelajar yang berpeluang membentangkan penyelesaian strategik terus kepada kepimpinan korporat PROTON.
Daripada pihak UMPSA, turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Pengarah Kanan Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee dan Pengarah ICON, UMPSA, Profesor Madya Dr. Doh Shu Ing.
Menurut Profesor Ts. Dr. Aida, program ini dilihat sebagai salah satu bentuk kolaborasi industri yang memberi impak langsung kepada pembangunan kemahiran pelajar selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.
"Penyelesaian kes perniagaan sebenar seperti yang dibawakan PROTON memberi peluang pelajar mempraktikkan analisis data, pemikiran strategik dan pembinaan model perniagaan secara menyeluruh.
"Pendekatan sebegini melatih mereka bukan sahaja memahami isu industri, tetapi berupaya mencadangkan solusi bernilai tinggi berasaskan inovasi, kekangan operasi dan dinamika pasaran automotif semasa," ujarnya.
Program 2025 menyaksikan penyertaan 52 pasukan daripada 26 universiti seluruh Malaysia, merangkumi enam wilayah iaitu Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Perluasan ini mengukuhkan peranan PROTON dalam membentuk ekosistem pembangunan bakat nasional yang mampu menyediakan tenaga kerja masa hadapan yang berkemahiran tinggi dan peka terhadap transformasi industri automotif termasuk peralihan kepada kenderaan elektrik (EV).
Pertandingan hari ini juga melibatkan sesi pembentangan selama 25 minit setiap pasukan, merangkumi ulasan kes, strategi penyelesaian, analisis data dan cadangan inovasi.
Elemen baharu seperti penilaian penggunaan AI secara beretika turut diuji bagi memastikan peserta memanfaatkan teknologi sebagai alat sokongan tanpa mengorbankan orisinaliti idea.
Tempat ketiga dimenangi pasukan DHU NEXTGEAR dari DRB-HICOM University, disusuli tempat kedua oleh pasukan PRODIGY, juga dari DRB-HICOM University, juara milik pasukan SAA UMK dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang turut mengangkat institusi tersebut sebagai wakil rasmi Pantai Timur ke Grand Finale PROTON Business Case Study Challenge 2025.
Kemenangan ini membuktikan keupayaan mahasiswa Pantai Timur menghasilkan analisis bernas, cadangan strategik berkualiti tinggi dan inovasi yang menepati kehendak industri automotif negara.
Penganjuran di UMPSA hari ini bukan sekadar kejayaan logistik, tetapi bukti bahawa kolaborasi strategik antara universiti dan industri mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negara.
Melalui pertandingan seperti ini, PROTON bukan sahaja membina hubungan dengan komuniti akademik, tetapi menyumbang kepada peningkatan daya saing mahasiswa Malaysia untuk menjadi pemimpin perniagaan dan inovator masa hadapan.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat, Ahmad Hilmy Agir, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 16 views
Reports by: