Skip to main content

Pusat Bahasa Moden rangkul Anugerah Amalan Terbaik Sumber Manusia bersempena dengan Hari Terbuka Jabatan Pendaftar UMPSA 2025

GAMBANG, 15 Oktober 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus cemerlang apabila berjaya merangkul Anugerah Amalan Terbaik Sumber Manusia sempena Hari Terbuka Jabatan Pendaftar (HTJP) 2025.

Acara yang berlangsung meriah di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang itu telah menarik kehadiran warga kampus dari Pekan dan Gambang.

Menurut Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, HTJP 2025 diadakan bertujuan untuk memastikan seluruh warga UMPSA iaitu staf, pelajar, dan agensi luar lebih memahami serta menyebarluaskan peranan dan fungsi Jabatan Pendaftar secara menyeluruh.

Penganjuran HTJP tahun ini diperkasakan dengan kolaborasi meluas, melibatkan agensi luar, Pusat Tanggungjawab (PTJ) UMPSA, dan persatuan staf. 

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan yang komprehensif kepada warga kampus dalam pelbagai skop perkhidmatan.

Pengiktirafan kecemerlangan warga UMPSA turut menjadi fokus utama penganjuran kali ini melalui Anugerah Amalan Terbaik Sumber Manusia. 

Bagi kategori individu untuk Akademik Pengajaran dan Pembelajaran, anugerah utama Amalan Terbaik Sumber Manusia telah dimenangi oleh Guru Bahasa PBM, Jamilah Bebe Mohamad.

Insiatif amalan terbaik sumber manusia yang beliau ketengahkan ialah aktiviti penulisan dan penerbitan dalam kalangan staf pentadbir di beberapa PTJ UMPSA. 

Pusat Bahasa Moden rangkul Anugerah Amalan Terbaik Sumber Manusia bersempena dengan Hari Terbuka Jabatan Pendaftar UMPSA 2025

 
Menurut Jamilah, inisiatif ini memberi peluang kepada staf pentadbiran untuk berkarya dan berkongsi karya mereka serta membuka dimensi baharu yang sebelum ini aktiviti penulisan dan penerbitan lebih berfokus kepada warga akademik. 

“Latihan ini juga memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi staf yang terlibat.  

“Kebanyakan staf menyatakan rasa gembira dan dihargai apabila artikel mereka diterbitkan di medium-medium rasmi UMPSA. 

“Pengiktirafan ini sangat bermakna dan menjadi dorongan kuat buat saya untuk terus berkongsi  ilmu dan bakti kepada warga universiti,” ujarnya. 

Beliau juga berharap agar usaha seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan lebih ramai staf untuk berkongsi amalan terbaik masing-masing. 

Pusat Bahasa Moden rangkul Anugerah Amalan Terbaik Sumber Manusia bersempena dengan Hari Terbuka Jabatan Pendaftar UMPSA 2025

 
Manakala Guru Bahasa Kanan, Noraishah Nurul Fatwa Mohd Razali dan Dr. Muhammad Azrin Ahmad dari Pusat Sains Matematik (PSM) masing-masing meraih Anugerah Harapan menerusi inisiatif berimpak tinggi. 

Noraishah menampilkan Pengintegrasian Reading Circle Programme (RCP) dalam kursus Essential English (ULE1212) melalui pembangunan Laman Web Reading Circle Programme, manakala Dr. Muhammad Azrin diiktiraf atas Inisiatif Mentranformasikan Bilik Kuliah Tradisional dengan Teknologi Proprietari Protokol Screen Sharing menggunakan Apple AirPlay dan Google Chromecast.

Pusat Bahasa Moden rangkul Anugerah Amalan Terbaik Sumber Manusia bersempena dengan Hari Terbuka Jabatan Pendaftar UMPSA 2025

 
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah atas komitmen dan dedikasi yang telah ditunjukkan. 

Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan warga UMPSA dalam memperkasa budaya kerja cemerlang serta memperkukuh ekosistem sumber manusia universiti.

Disediakan Oleh: Suriayati Mohd Sidek, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri