Pustakawan UMP Curah Ilmu Dalam Bengkel Katalog Sekolah
Pekan, 13 Februari- Dalam usaha memastikan hubungan yang baik antara universiti dan masyarakat sekitar Pekan, Perpustakaan UMP menjalankan tangungjawab sosial inovatif dengan mengadakan Bengkel Sistem Katalog Bersepadu Pusat Sumber Sekolah (SKBPSS) melibatkan sekolah sekitar daerah Pekan.
Dalam program ini seramai 78 orang peserta membabitkan Pengawas Pusat Sumber termasuk enam orang Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dari SMK Dato’ Mahmud Mat, SMK Tengku Abdullah dan SMK Ahmad Pekan hadir menyertai program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan dan Makmal Komputer, Perpustakaan UMP Kampus Pekan.
Menurut Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad, bengkel ini dapat meningkatkan kemahiran dalam kalangan pelajar terutamanya Pengawas Pusat Sumber (PPS) sekolah berkenaan. Peserta berpeluang menimba pengalaman melaksanakan pengkatalogan secara talian dan pada masa yang sama mendedahkan peranan maklumat dalam era teknologi maklumat pada masa kini.
“Pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan berada di auditorium bagi mendengar penerangan berkaitan teori pengkatalogan dan satu kumpulan lagi ditempatkan di makmal bagi sesi amali cara pengkatalogan atas talian ,” katanya.
Pihaknya berharap program ini dapat diperluaskan dengan sekolah –sekolah lain seluruh Pahang dalam memastikan proses pengkatalogan dan pengkelasan adalah mengikut standard dan memudahkan carian.
Hadir sama menyampaikan ceramah adalah Pustakawan Kanan UMP, Iswan Akim Ismail dan Pustakawan, Wan Nurul Huda Wan Zakaria yang masing-masing telah menyampaikan tajuk berkaitan asas-asas pengkatalogan dan pengenalan pencarian maklumat menerusi talian. Selain itu mereka juga telah diberi pendedahan dan penerangan tentang pengunaan sistem pengkatalogan secara talian.
Disediakan oleh Iswan Akim Ismail dari Perpustakaan UMP.
- 99 views