Skip to main content

Ramadan dalam PKP untuk dikenang

Khamis, 6 Mei - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  dan menjelangnya Ramadan kali ini merupakan pertama kali umat Islam di negara ini dan seluruh dunia berpuasa dalam satu suasana normal baharu berikutan penularan pandemik COVID-19. Jika sebelum ini, keadaan di lebuh raya sudah pasti penuh sesak dengan kenderaan warga kota yang pulang ke kampung bagi menyambut bulan Ramadan. Namun kali ini keadaannya jauh berbeza, lebuh raya kelihatan lengang. Ini kerana tiada sebarang pergerakan rentas negeri dibenarkan dan orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk menyambut puasa sepanjang tempoh PKP ini bagi menyekat penularan virus berbahaya itu.

Ketika ditanya mengenai Ramadan kali ini, Shahrizai Haji Sarif, Eksekutif Kanan di Institut Pengajian Siswazah (IPS) berkata, paling terasa apabila solat tarawih tidak dapat diadakan di masjid dan surau mahupun kemeriahan berbuka puasa dan moreh seperti kebiasaan menjelang Ramadan.

“Kini aktiviti solat tarawih bersama keluarga pada setiap malam akan menjadi kenangan yang paling diingati. Sudah tentu Ramadan 1441H adalah Ramadan yang bersejarah dan akan diingati kesan akibat penularan wabak Covid-19. Seharusnya kita semua bersabar dan melaluinya dengan tenang di samping mematuhi PKP dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Pelbagai aktiviti dapat disusun dengan lebih baik sekiranya waktu terluang dapat dimanfaatkan bersama keluarga. Satu lagi keunikan berbuka puasa yang terdapat di Kuantan setiap kali menjelangnya Ramadan adalah aktiviti berbuka puasa beramai-ramai di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Aktiviti ini telah menjadi tradisi masyarakat di Kuantan selama lebih 20 tahun.

Kini walaupun tanpa bazar Ramadan, kemeriahan berbuka puasa masih dapat dirasai dengan pelbagai juadah yang disediakan di rumah. Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan pembaziran dan kesemua juadah dapat dinikmati seisi keluarga.

Dalam pada itu, norma baharu cara hidup perlu dilaksanakan dengan menuntut disiplin yang tinggi dan pelaksanaan secara menyeluruh setiap peringkat umur. Beliau percaya pihak universiti sedang menyediakan garis panduan yang jelas mengenai pelaksanaan kebiasaan yang baharu – Era Pasca PKP bagi memastikan semua Prosedur Operasi Standard  (SOP) melibatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan dipatuhi oleh setiap staf yang meliputi setiap aktiviti pekerjaan dalam universiti.

Berkongsi pengalaman bekerja dari rumah (WFH), Shahrizai berpendapat dalam tempoh PKP memerlukan disiplin yang tinggi dan pengurusan masa yang sebaiknya terutamanya untuk staf wanita mengurus rumahtangga dan mengurus kerja perlu diatur agar kedua-duanya dapat dilaksanakan dengan baik.

Bagi Prof Madya Dr Azrina Abd Aziz yang merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMP, walaupun suasana Ramadan pada kali ini sangat berbeza, tetapi Dr. Azrina sangat menghargainya dan merasakan ia lebih bermakna buat dirinya kerana mempunyai masa yang dapat diluangkan sepenuhnya bersama keluarga berbanding sebelum ini yang sentiasa sibuk dengan kerja dan kekangan masa.   

Arahan bekerja dari rumah memberi lebih ruang yang mana beliau tidak terkejar-kejar dan tidak terlalu letih dan sekaligus Dr Azrina memberitahu dapat memberi tumpuan yang lebih dalam menjalankan tugasan dan menjalankan ibadah sepanjang bulan Ramadan.

“Wabak COVID-19 ini adalah cabaran dunia yang baharu yang mana telah mengubah norma kehidupan manusia kepada lebih mementingkan kesihatan dan kebersihan. Apatah lagi, sebagai umat Islam, kebersihan adalah salah satu aspek yang perlu dititikberatkan,” katanya.  Walau dalam apa keadaan sekalipun, semoga Ramadan ini adalah yang terbaik untuk kita semua dan kesempatan ini diambil untuk muhasabah diri masing-masing.

Manakala bagi Noor Syahidah Sabran yang merupakan Eksekutif Kanan di Pusat Keusahawanan Universiti (PKUS) UMP, pada kebiasaannya setiap kali munculnya Ramadan, beliau akan terkejar-kejar ketika pulang dari kerja untuk menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga.

Ujarnya lagi, Ramadan tahun ini memberi lebih fleksibiliti yang mana beliau dapat mengurus aktiviti dengan lebih teratur, malah dapat menyediakan menu kegemaran untuk berbuka dan mencuba pelbagai resepi baharu.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan juadah cuma dibeli di bazar Ramadan kerana kekangan masa. Lebih menarik, ruang tamu kediamannya telah dijadikan tempat khusus untuk solat tarawih dan turut menempah bunting panduan solat tarawih untuk rujukan mereka sekeluarga.

Selain itu, barang-barang keperluan juga dilakukan secara atas talian dan bayaran dalam penghantaran (COD), sekaligus menjadikan pembelian atas talian lebih popular dalam tempoh PKP selain  menambah kenalan, jiran malah rangkaian baharu melalui pelbagai kumpulan dari aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, kelebihan Ramadan pada kali ini adalah dapat melatih dirinya mengurus masa dan aktiviti dengan lebih efisyen dan pada masa yang sama dapat meningkatkan kefahaman terhadap penggunaan teknologi dalam talian melalui penggunaan aplikasi Zoom, Google Meet dan sebagainya untuk melakukan perbincangan dan tempoh mesyuarat serta perbincangan juga dapat dioptimumkan kepada agenda yang lebih berfokus.

Justeru, umat Islam diseru menghidupkan ibadah dan tradisi Ramadan di rumah yang   dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan dengan menyediakan juadah berbuka dan sahur bersama, menunaikan solat berjemaah serta memantapkan ilmu agama. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab teruskan duduk di rumah dan patuhi PKP yang kini memasuki fasa kelima. Anggaplah bulan Ramadan kali ini bukan sahaja perjuangan kita menentang nafsu, lapar dan dahaga, tetapi juga perjuangan menentang virus COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia.  

Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri