Skip to main content

RoboFTKEE War UMPSA tunjuk aksi, cungkil bakat peminat robotik

PEKAN, 27 Januari 2024 – Bidang robotik adalah salah satu bidang yang sangat penting dan menarik untuk diterokai oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Oleh itu, pihak FTKEE telah mengambil satu inisiatif untuk memperkenalkan Program RoboFTKEE untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang robotik.

Program RoboFTKEE yang mendapat sokongan penuh dari fakulti telah diadakan sepanjang semester 1 2023/2024 iaitu 3 siri fasa latihan yang merangkumi Hardware Development, Soldering & PCB dan Software & Integrating telah dijalankan bermula dari minggu keempat sehingga minggu ketujuh semester tersebut.

Ia melibatkan penyertaan seramai 30 orang pelajar FTKEE dan semua siri latihan telah dikendalikan oleh beberapa orang pensyarah dan staf sokongan FTKEE.

Setelah selesai sesi penyediaan robot, satu pertandingan yang dinamakan RoboFTKEE War telah diadakan pada 27 Januari 2024. 

Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu merupakan medan untuk semua peserta menguji robot ciptaan masing-masing. 

RoboFTKEE ini melibatkan sepuluh buah kumpulan iaitu setiap kumpulan terdiri daripada tiga orang pelajar. 

Pertandingan ini diadakan di foyer FTKEE dan telah dirasmikan oleh Ketua Program Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal), Ts. Dr. Zaina Md. Zain. 

RoboFTKEE War UMPSA tunjuk aksi, cungkil bakat peminat robotik

Penganjuran program ini dapat memperkasakan robotik di peringkat FKTEE dan akan membawa ke arah penglibatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Ketua Program Pembangunan Pelajar, Dr. Suliana Ab Ghani, program RoboFTKEE ini adalah wadah kepada pelajar untuk berjinak-jinak dengan robot dan seterusnya berminat dengan robot. 

“Insya-Allah, ia akan membuka laluan kepada FTKEE untuk terus gah dalam bidang robotik ini,” ujarnya. 

Menurut johan RoboFTKEE War, Muhammad Hafiz Abdul Razad, sebagai ketua Kumpulan RC2, program ini sangat baik diadakan kerana ia dapat memberi pelbagai pendedahan ilmu mengenai robotik bermula dari proses permulaan hinggalah ke fasa akhir.

“Secara tidak langsung juga, ia berjaya memupuk semangat kerjasama antara pelajar dan juga tenaga pengajar,” katanya. 

Disediakan Oleh: Dr. Suliana Abd Ghani, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE). 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News