“Saya akan rindu UMPSA” – Zhaniya dan Danil
GAMBANG, 3 Julai 2024 – “Saya akan merindui UMPSA dan Malaysia”- demikian luahan Serikova Zhaniya, 24 pelajar program ijazah dual yang berasal dari Ridder City, Kazakhstan yang telah menamatkan pengajiannya selama setahun di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Serikova Zhaniya merupakan pelajar program ijazah dual bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian hasil kerjasama UMPSA dan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU).
Dalam program ini, pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun di KazNARU dan setahun di UMPSA.
Yang menariknya, pelajar yang mengikuti program ini akan menerima dua penganugerahan iaitu bakal memiliki dua ijazah daripada kedua-dua university tersebut.
Melanjutkan pengajian selama dua semester di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMPSA, sudah tentunya banyak pengalaman dan kenangan manis yang diperoleh lebih-lebih lagi merasai pengalaman berada di negara yang asing baginya.
“Saya sangat teruja untuk datang ke Malaysia dan melanjutkan pengajian di UMPSA.
“Mendalami budaya dan bergaul dengan masyarakat Malaysia dan keindahan negeri Pahang Darul Makmur ini adalah pengalaman dan kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan.
"Saya teruja untuk belajar di UMPSA kerana sistem pendidikan di sini sedikit berbeza dengan sistem pendidikan di negara saya.
“Di sini juga, saya amat mengagumi kemudahan yang disediakan untuk para pelajar di sini," tambahnya.
Sedih untuk meninggalkan Malaysia, Zhaniya yang telah merantau ke beberapa negara merasakan Malaysia adalah negara yang paling selamat dikunjungi kerana penduduknya sangat mesra dan menyambut baik pelajar dari negara luar.
Katanya, beliau mempunyai ramai kawan sepanjang melanjutkan pelajaran di sini dan tidak merasa sunyi walaupun berjauhan dari keluarga.
“Pensyarah dan staf di UMPSA juga sangat membantu jika saya memerlukan pertolongan.
“Saya berharap lebih ramai lagi pelajar yang datang ke Malaysia terutamanya UMPSA bagi melanjutkan pengajian mereka di sini.
“UMPSA adalah universiti terbaik buat para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka lebih-lebih lagi program ijazah dual yang ditawarkan,” ujarnya.
Begitu juga dengan rakannya, Akshimbayev Danil, 21 yang berasal dari Almaty, Kazakhstan yang mengikuti program yang sama turut berkongsi perasaan sedih apabila tamat pengajiannya di UMPSA dan perlu pulang ke negara mereka.
Katanya, beliau akan merindui UMPSA dan Malaysia, terutamanya kawan-kawan saya di sini.
“Jika diberikan peluang, saya pasti akan berkunjung semula ke Malaysia pada masa akan datang,” ujarnya yang berjanji tidak akan melepaskan peluang menanti saat Majlis Konvokesyen di UMPSA kelak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dekan FSTI, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli, Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Profesor Madya Dr. Ts. Dr. Md. Ruzaimi Mat Rejab, para pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa membantu dengan memberikan sokongan sepanjang berada di UMPSA.
Kedua-duanya, Zhaniya dan Danil kini telah bergraduasi di KazNARU pada hari ini.
Malahan, mereka turut teruja untuk kembali semula ke Malaysia bersama keluarga bagi menghadiri Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 yang bakal diadakan pada hujung tahun ini.
Selain Kazakhstan, UMPSA menawarkan program ijazah dual dengan kerjasama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman.
Kerjasama ini turut diperluas ke negara China hasil kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) yang membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal, selain Korea dan Jepun pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 292 views