SciTech4U STEM Camp MOSTI 2025 semarakkan minat Sains dan Teknologi pelajar sekolah menengah
KUANTAN, 24 Ogos 2025 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menjadi tuan rumah kepada Program SciTech4U STEM Camp MOSTI 2025 yang berlangsung pada 23 hingga 24 Ogos 2025.
Program itu menghimpunkan seramai 184 pelajar daripada lima buah sekolah menengah sekitar daerah Kuantan dan Pekan, iaitu Sekolah Menengah Kebangsan (SM) Paya Besar, SMK Sungai Isap Murni, SMK Tanah Putih, SMK Ubai dan SMK Indera Syahbandar.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan itu dipimpin oleh Tuan Haji Fakhrul Anuar Zulkawi selaku pengarah program dan dibantu oleh pensyarah FTKPM, Ts. Dr. Asrul Adam selaku penyelaras utama.
Program itu juga turut dibantu dengan sokongan padu daripada pelbagai agensi rakan strategik termasuk Majlis Bandaraya Kuantan, APPGM-SDG, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, PPD Kuantan, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta Persatuan Youth CEO.
Seramai lebih 30 orang terdiri dari pensyarah, staf pentadbiran, dan NGOs yang terlibat melaksana serta menjayakan program ini.
Sepanjang dua hari penganjuran, para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang interaktif dan menyeronokkan.
Ternyata penganjuran program ini bukan sahaja dapat meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM, malah menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, serta kerjasama berpasukan.
Menurut Ts. Dr. Asrul Adam, program ini adalah selaras dengan aspirasi MOSTI dalam memperkukuh budaya STEM dalam kalangan generasi muda.
“Melalui pendedahan seperti ini, pelajar bukan sahaja dapat merasai pengalaman pembelajaran secara praktikal, malah mampu membina keyakinan untuk meneroka bidang teknologi masa hadapan.
“Diharap program seperti ini dapat melahirkan ramai generasi yang berfokus kerjaya dalam bidang Sains dan Teknologi di masa hadapan untuk negara Malaysia,” ujarnya.
Program ini turut mendapat maklum balas positif daripada para peserta.
Menurut peserta program, Muhammad Izz Hafiy Ad-Din Mohd Faizul dari SMK Sungai Isap Murni, program ni membuka matanya mengenai betapa indahnya dunia Sains.
“Sebagai seorang yang memiliki bakat dalam bidang Kesusasteraan, saya terpesona melihat betapa pentingnya dunia Sains yang merangkumi alam dari segala aspek,” katanya.
Manakala menurut Muhammad Danial Ammar Suffian dari SMK Ubai pula, program ini sangat membantu saya dalam memahami subjek STEM kerana ia adalah pembelajaran secara langsung.
“Terima kasih UMPSA kerana mengadakan program ini dan saya berharap ia akan diadakan lagi pada tahun hadapan,” ujarnya.
Tambah Nur Husna Aqilah Khamaludin dari SMK Indera Syahbandar, program ini memang sangat menyeronokkan kerana saya dapat berjumpa ramai kawan baharu, belajar perkara baharu dan setiap aktiviti yang dianjurkan sangat bermakna serta memberi pengalaman berharga.
Adani Sofea Sharul Anuar dari SMK Paya Besar pula berkata, beliau amat teruja menyertai setiap aktiviti bersama pelajar lain.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat malah turut memperluas pengetahuan kami,” katanya.
Program ini juga memperlihatkan komitmen UMPSA sebagai universiti teknikal terkemuka dalam menyokong pembangunan modal insan yang berdaya saing, seiring dengan matlamat negara melahirkan masyarakat celik teknologi dan inovasi.
Di akhir program, para peserta bersama para tetamu jemputan mengibarkan jalur gemilang bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan Malaysia yang ke-68.

Bersama Jawatankuasa Pelaksana FTKPM, MOSTI, dan Rakan Kerjasama Strategik

Aktiviti Popsicle Stick Brigde

Aktiviti membina roket air menggunakan botol

Aktiviti Melancarkan Roket

Aktiviti membina Menara Merdeka menggunakan Pick and Place Robot

Aktiviti Soccer Robot dan membina menara merdeka
Oleh: Ts. Dr. Asrul Adam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)
- 109 views
Reports by: