Seramai 380 mahasiswa baharu UMP mendaftar
Kuantan, 25 Januari – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima seramai 380 mahasiswa baharu bagi mengikuti pengajian Sesi Akademik 2018/2019 baru-baru ini yang berjalan serentak di kedua-dua kampus.
Pendaftaran mahasiswa bermula pada jam 8.30 pagi di Pusat Aktiviti Pelajar kampus Pekan manakala pendaftaran dijalankan di Kolej Kediaman 1 dan 2 bagi mahasiswa UMP kampus Gambang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 167 orang merupakan mahasiswa baharu lepasan Diploma atau setaraf yang berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UMP melalui UMP Advanced.
Hadir menyambut ketibaan mahasiswa dan keluarga, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato Dr Yuserrie Zainuddin yang menyaksikan pendaftaran yang buat julung kalinya diadakan di penginapan kolej kediaman.
Menurut beliau, pihaknya berpuas hati dengan proses pendaftaran mahasiswa berjalan lancar dan mengucapkan tahniah buat petugas dan barisan jawatankuasa. Selain menyaksikan sendiri proses pendaftaran berlangsung, beliau turut hadir menyampaikan bantuan insentif pengajian melalui Inisiatif MyGift UMP sebanyak RM1000 kepada mahasiswa baharu dalam pembayaran yuran atau sara diri untuk pembelajaran di UMP.
Katanya, bagi mahasiswa yang kurang berkemampuan sememang universiti bertanggungjawab bagi memastikan mereka terus menamatkan pengajian. Tanggung jawab sosial ini dalam menghadapi tekanan hidup, ianya bukan lagi satu opsyen tetapi tindakan yang perlu dilakukan dan kebanyakan bantuan diterima dalam pelbagai dimensi dan keupayaan universiti.
“Universiti memberi bantuan dalam bentuk zakat, biasiswa, bantuan khas memulakan pengajian, kongsi rezeki, bantuan kebajikan untuk yuran atau kesihatan. Di samping pelajar digalakkan berniaga dengan ruang perniagaan dan kotak- kotak perniagaan atau biz box. Mereka yang kurang berkemampuan juga berpeluang bekerja sambil belajar yang diwujudkan bagi memberi peluang untuk mendapatkan pendapatan untuk perbelanjaan tanpa mengorbankan akademik mereka,” katanya ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, UMP turut menerima pelajar antarabangsa seramai 25 orang yang mendaftar yang mana 14 orang mengikuti program pra siswazah dan 11 orang pelajar mengikuti program mobiliti di universiti ini.
Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat
- 158 views