Sidang Dewan Perundingan Pelajar UMP buka tirai mulai 15 April dan berakhir 16 April 2023
PEKAN, 15 April 2023 - Persidangan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) 2022/2023 mula bersidang mulai pada 15 April 2023 dan berakhir pada 16 April 2023.
Hadir dalam persidangan, Speaker DUN Pahang, Yang Berhormat Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin dalam ucapannya menasihati Ahli-ahli Dewan Perundingan Pelajar (DPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menjadi pemimpin terbaik perlu mempunyai kriteria bersikap terbuka dalam sesuatu perkara.
Namun katanya, jika tidak setuju dalam sesuatu perkara, pemimpin haruslah tanganinya dengan sikap terbuka dan sabar.
Tambahnya, universiti merupakan tempat paling sesuai untuk belajar menjadi pemimpin.
“Jika kita lihat pemimpin negara kebanyakkannya mempunyai latarbelakang dan pengalaman sebagai pemimpin pelajar sewaktu di universiti.
“Justeru, jadikan DPP ini sebagai platform untuk belajar dalam kepimpinan,” katanya semasa merasmikan Dewan Perundingan Pelajar di Dewan Senat, UMP Pekan.
Hadir sama Naib Canselor UMP Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin merangkap Yang di-Pertua Dewan, dan Yang diPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Agha Khilfi Suarno.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie dalam ucapannya berkata, DPP ini merupakan medium utama dalam menghubungkan Pengurusan Tertinggi Universiti dengan mahasiswa agar dapat melontarkan idea dan pandangan berkaitan isu kebajikan pelajar di kampus dan pembangunan negara.
“Selain itu, pelaksanaan DPP ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam agenda pemerkasaan mahasiswa.
“Ini juga membuktikan bahawa UMP amat komited dalam melahirkan mahasiswa yang berketerampilan di samping penerapan nilai-nilai MADANI dalam program-program mahasiswa,” ujarnya.
Turut berlangsung pemasyhuran Timbalan Yang di-Pertua DPP 1 dengan melantik Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Manakala Pengarah Akademi ADAB, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar pula dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua 2.
Dewan Perundingan Pelajar ini dihadiri seramai 78 orang yang terdiri daripada Presiden dan Pengerusi Persatuan Badan Pelajar serta 24 ahli MPP UMP.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri