Skip to main content

Strategi merungkai permasalahan melalui kaedah TRIZ bentuk pemikiran kritis

Pekan, 20 Ogos- TRIZ adalah singkatan dari akronim bahasa Rusia yang bermaksud Teori Penyelesaian Masalah Inventif (Theory of Inventive Problem Solving) yang diinspirasikan oleh Genrich Altshuller pada tahun 1946 untuk memastikan proses dan prosedur yang berkaitan dengan inovasi dan kreativiti dalam penyelesaian masalah dapat berjalan secara sistematik.

Ianya terdiri daripada teori, proses, teknik dan prosedur operasi yang dicipta dengan objektif untuk menghasilkan proses kreatif dalam konteks teknikal dan teknologi yang dapat dikodkan dan dikelaskan supaya ianya boleh digunapakai dalam menyelesaikan masalah dalam sektor kejuruteraan khususnya. Ringkasnya, ia adalah teori penyelesaian masalah inventif yang sangat berguna dan releven dalam era masa kini.

Menurut Dr Abdul Rashid Abdul Aziz  daripada Pusat Sains Kemanusiaan, Kursus TRIZ selama 3 hari ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Kursus TRIZ Level 1 For Instructor telah dijalankan dari 19 hingga 20 Ogos 2019 dan diikuti oleh Kursus TRIZ for Consulting (Foundation) pada hari berikutnya. Antara peserta yang terlibat dalam kursus ini adalah mereka yang terdiri daripada tenaga pengajar subjek UHS2011 (Industrial Soft Skills) dan juga peserta dari Surabaya Indonesia.

Kursus ini telah dijalankan melalui kerjasama antara Pusat Sains Kemanusiaan UMP dan MyTRIZ Malaysia. Dr TS Yeoh, Presiden MyTRIZ Malaysia merupakan penceramah yang telah dijemput untuk menjayakan kursus ini.

“Peserta kursus memberikan pengalaman dan impak yang sangat baik. Mereka berpeluang mempelajari metod dalam penyelesaian masalah dengan cara yang sistematik menjadi tunjang utama dalam membentuk pemikiran kritis dan menjana kreativiti serta inovasi agar dapat diterapkan kepada mahasiswa UMP,” katanya. Justeru, persiapan melahirkan mahasiswa yang mempunyai paradigma kelas pertama, mendepani arus cabaran dan revolusi IR 4.0 bakal terlaksana.

Seperti yang telah ditekankan oleh Kapt. Imaduddin Abidin yang merupakan Pengarah Projek, Kursus TRIZ Level 1 for Instructor, berkata ini sangatlah wajar kepada para tenaga pengajar khususnya sebagai persiapan untuk mendidik generasi kita untuk mendepani cabaran dan rintangan dalam ekosistem IR 4.0. Ini sejajar dengan misi di Jabatan Kemahiran insaniah untuk melahirkan graduan yang mempunyai keperibadian dan kecekapan yang tinggi berdasarkan nilai-nilai positif kepada komuniti, industri dan negara.

Kursus TRIZ ini juga membuka minda para peserta dan dilakukan secara komprehensif melalui beberapa kaedah seperti analisis penyelesaian masalah yang dijalankan secara kajian kes bagi memastikan kefahaman dan aplikasi teknik TRIZ peserta dipantau. Bahkan peserta juga perlu menduduki peperiksaan setelah tamat sesi kursus.

Pada hari terakhir kursus pula, para peserta berada di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) untuk didedahkan dengan situasi sebenar penyelesaian masalah di organisasi. Dengan ini, secara tidak langsung para peserta juga telah berjaya membantu pihak KUIPSAS dalam menyelesaikan beberapa permasalahan organisasi yang dihadapi mereka dengan bantuan dua orang pakar bidang TRIZ iaitu Presiden My TRIZ, Dr TS Yeoh dan Timbalan Presiden My TRIZ, Tan Eng Hoo. Jalinan yang terhasil ini juga memberi peluang kepada pihak KUIPSAS mempelajari teknik dan strategi merungkai permasalahan melalui kaedah TRIZ.

 

Disediakan oleh Dr Abdul Rashid Abdul Aziz dan Kapt. Imaduddin Abidin daripada Pusat Sains Kemanusiaan.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri