Sumbangan Zakat BPMB bantu mahasiswa berkeperluan
KUANTAN, 14 Disember 2020 - Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) terutamanya dalam kalangan keluarga daripada kelompok B40 bakal menerima manfaat hasil sumbangan zakat berjumlah RM250 ribu oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bagi bantuan pendidikan dalam usaha menaik taraf mutu kehidupan mahasiswa yang memerlukan.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara maya itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail.
Turut serta mewakili UMP adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP.
Menurut Profesor Dato’ Dr. Yuserrie, sumbangan ini dapat meringankan beban mahasiswa terutamanya dalam mengharungi norma baharu dalam pembelajaran.
“Dalam pada itu bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mahasiswa terutamanya daripada keluarga B40, UMP melalui Yayasan UMP telah mewujudkan empat inisiatif buat mahasiswa.
“Sejak memulakan sesi pengkuliahan secara dalam talian beberapa bulan lalu Yayasan UMP memperkenalkan beberapa inisiatif iaitu Insentif Bantuan Kecemasan (ibRes-Q), Insentif Pelan Data UMP (ipd-UMP), Insentif Bantuan Peranti UMP (ibp-UMP) dan Insentif Bantuan Tunai (Zakat/Kebajikan) (ibt-UMP),” katanya.
Pihaknya mengharapkan agar sumbangan ini menjadi suntikan buat mahasiswa untuk meneruskan kecemerlangan dalam pengajian walaupun berdepan dengan situasi sukar pada ketika ini.
Tambahnya, pihak universiti juga turut menghargai sumbangan BPMB dalam usaha membantu mahasiswa UMP.
Manakala Arshad pula berkata, sumbangan itu bertujuan memastikan mahasiswa yang memerlukan kekal fokus dalam pembelajaran dan secara tidak langsung meringankan beban keluarga mahasiswa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Turut sama menerima sumbangan pada kali ini adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 52 views