Teruja anak masuk universiti, pengorbanan ayah dan ibu hantar anak daftar di UMPSA
PAYA BESAR, 30 Oktober 2023 - Hati ibu bapa mana yang tidak bangga melihat anak yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh berjaya ke menara gading.
Begitu juga bagi pasangan guru, Tahir Untong, 57 dan isterinya Minah Smit, 56 yang hadir bersama keluarganya dari Lawas Sarawak dengan menaiki kapal terbang dan transit di Kuala Lumpur sebelum menghantar anaknya dengan menaiki bas ke Kuantan bagi memastikan anaknya, Nurbatrisyia Husna Tahir, 19 tahun selamat mendaftar masuk di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Nurbatrisyia bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dengan Kepujian.
Menurutnya, ayahnya yang merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Ulu Merapok, Lawas amat teruja untuk menemaninya ke Kuantan.
“Saya akan belajar bersunguh-sungguh demi membalas jasa ayah dan ibu,” katanya.
Sementara itu, dua pasangan kembar turut mencuri tumpuan apabila hadir untuk mendaftar sempena hari pendaftaran mahasiswa baharu UMPSA bagi Program Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024.
Pasangan kembar tersebut iaitu Sarah Antasha Shahren dan adiknya Farah Antasha Shahren, 20 mendaftar di UMPSA Kampus Gambang manakala Noora Haidah Azmi dan Noora Hanim Azmi pula mendaftar di UMPSA Pekan.
Menurut Sarah Antasha yang berasal dari Puchong, Selangor, beliau bersyukur apabila impiannya bersama adiknya tercapai untuk menyambung pengajian di UMPSA.
“Kami tidak pernah berpisah sejak kecil lagi, jadi apabila kami ditawarkan di universiti yang sama, kami amat gembira.
“Kedua ibu bapa kami juga bersyukur apabila kami ditempatkan di universiti yang sama walaupun saya ditawarkan dalam Program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan adik pula dalam program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, seramai 1,807 mahasiswa mendaftar di UMPSA bagi mengikuti pengajian di kedua-dua kampus UMPSA di Pekan dan Gambang.
“Pendaftaran mahasiswa baharu berjalan lancar di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang dengan dibantu para petugas daripada pelbagai jabatan dan sukarelawan yang melibatkan seramai 120 Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar (PEKA) serta fasilitator Minggu Induksi Siswa (MINDS).
Selain itu sebagai kemudahan, pihak UMPSA melalui Unit Kebajikan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa berhubung dengan pelajar baharu termasuklah mengurus berkaitan kemudahan pengangkutan pelajar di lapangan terbang di Kuantan, Terminal Bas Kuantan dan mengambil mereka dari rumah bagi yang memerlukan.
Mahasiswa UMPSA akan mengikuti program Minggu Induksi Siswa (MINDS) yang telah dijadualkan mulai 1 hingga 3 Oktober 2023.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 444 views