Skip to main content

Tradisi iftar dalam talam di kampus tinggal kenangan

Kuantan, 30 April - Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) melahirkan rasa gembira apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas lebih 40 hari berada di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lepas.

Fasa pertama pergerakan pelajar ke Zon Timur membabitkan seramai 1154 pelajar pulang ke kampung masing-masing sekitar Pahang, Kelantan dan Terengganu pada malam 30 April baru-baru ini melibatkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Bagi mahasiswa UMP, Muhammad Hazamuddin Wan Hassan, 25, yang berasal dari Kelantan berkata, detik pulang ke rumah sememangnya sangat dinantikan terutama bagi melepaskan perasaan rindu kepada keluarga.

Menceritakan pengalaman tahun sebelumnya berpuasa di kampus sangat menyeronokkan apabila dapat berbuka puasa bersama-sama rakan di masjid UMP. Apatah lagi tradisi bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan makan bersama menggunakan talam yang diisi dengan nasi dan lauk untuk dimakan dengan empat atau lima pelajar lain.      

“Ia juga tinggal kenangan dalam bulan Ramadan apabila kami tidak dapat lagi berbuka puasa beramai-ramai termasuklah berkunjung ke Padang MPK 1 di Kuantan yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai di negeri ini untuk berbuka puasa bersama di padang setiap kali menjelang Ramadan,” ujarnya yang kini telahpun berada di kampung halamannya di Tumpat Kelantan. Beliau antara pelajar terawal yang menyertai kumpulan penghantaran pelajar balik ke kampung halaman di Zon Timur pada 30 April lalu.

Beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat terutamanya UMP yang bertungkus-lumus  menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar yang masih berada di kampus sepanjang tempoh PKP ini.

Manakala bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik, Nur Salmiah Saliman, 22, yang tinggal di rumah ibu saudaranya di Kuala Terengganu buat sementara ketika keadaan PKP turut memberikannya pengalaman baharu berbanding Ramadan sebelum ini.

Nur Salmiah merupakan pelajar yang berasal dari Kuching, Sarawak pada awalnya ingin balik ke kampung namun terkandas di Terengganu. Beliau  telah membeli tiket pada 18 Mac 2020 dan sepatutnya terbang balik ke Sarawak pada 25 Mac 2020 dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu. Namun akibat PKP, dugaan buatnya apabila dua kali penerbangan dibatalkan dan kini beliau menyertai kumpulan pelajar untuk pulang ke kampung halaman di Sarawak bersama kumpulan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Perasaan pertama kali berpuasa di perantauan sangat berbeza kerana sebelum ini puasa pertama di tahun 2018 dan 2019, saya menyambut Ramadan bersama-sama rakan di Kolej Kediaman 5 UMP. Biasanya saya akan mencari kuih tepung pelita, kuih lopes, puding sagu dan variasi satay di bazar Ramadan, namun tiada pada kali ini,” katanya.

Akibat terlalu rindu makan bersama keluarga ketika musim pandemik ini, ibunya mengirimkan beberapa ekor ikan terubok yang hanya dijumpai di Sarawak dan dimasinkan supaya ikan tersebut kekal elok untuk dikirimkan ke rumah ibu saudaranya.  

Dengan adanya teknologi memberikannya kemudahan berhubung dengan keluarga. Ramadan kali ini juga bermakna buatnya apabila berpeluang menyambut Ramadan dengan ibu saudaranya setelah hampir 20 tahun tidak berjumpa. Nur Salmiah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik turut tidak sabar bertemu dengan adik bongsunya yang  berumur enam tahun dan berbuka puasa dengan keluarganya di kampung.

Dijangkakan seramai 6500 pelajar dari negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu  pulang ke kampung halaman secara berperingkat mengikut Zon Timur, Tengah, Utara, Selatan, Perak, Sabah dan Sarawak sehingga berakhir 10 Mei depan. UMP juga akan melaksanakan kuliah atas talian mulai 1 Jun depan bagi meneruskan sesi pengajian sebagai sebahagian normal baharu akibat penularan COVID-19.   

Disediakan oleh Siti Nur Azwin Binti Zulkapri daripada Unit Perhubungan Awam PNC.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri