UMP anjur Program Kesedaran Mengundi Usia 18
KUANTAN, 15 Oktober 2022 - Dunia kini tidak boleh lagi dibanding dengan zaman dahulu iaitu untuk maju ke hadapan memerlukan kombinasi dua pemikiran iaitu golongan muda dan yang telah berpengalaman.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan 1, Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah, apa yang berlaku pada masa hadapan adalah perkara penting yang perlu dilakukan pada hari ini.
“Undi 18 ini akan memberi kesan dalam pemilihan ahli Parlimen yang akan membentuk Kerajaan.
“Peranan kerajaan amat penting dalam membuat dasar dan polisi yang akan memberi pulangan yang baik kepada masyarakat.
“Peranan setiap anak muda dalam pilihan raya amat penting dan jumlahnya akan dikira sebagai jumlah undi dalam peti undi, maknanya sekiranya anak muda tidak turun mengundi undian tersebut tidak akan dikira,” katanya.
Oleh itu katanya lagi, anak muda sangat penting agar dapat sama-sama tunaikan tanggungjawab mengundi dan melakar sejarah apabila pertama kali menampilkan pengundi bawah usia 21 tahun.
“Impak sekiranya kita tidak memilih pemimpin berdasarkan pertimbangan yang jelas atau prestasi amat besar.
“Pertimbangan untuk kita adakan undian mestilah berasaskan prestasi, fakta, data yang kita lihat secara mutlaknya yang telah memberikan kemakmuran, kesejahteraan, keselamatan dan keamanan yang kita ada pada hari ini,” kata Yang Berhormat Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah ketika berbicara tentang ‘Forum Bual Bicara Undi 18: Apa Orang Muda Perlu Tahu?.
Beliau yakin anda anak muda yang bijak, pandai dan tahu berfikir akan memberi keputusan yang tepat kerana keputusan yang tepat akan memberi impak yang positif kepada negara.
Beliau tampil bersama Naib Presiden 3, Majlis Belia Negeri Pahang, Marina Musuari dalam forum tersebut dan pada masa yang sama turut merasmikan Majlis Penutup Minggu Induksi Siswa sesi 2022/2023.
Manakala Nur Amira Badri, Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar UMP pula bertindak sebagai moderator.
Marina Musuari pula berpendapat keperluan pemimpin muda dalam arena politik dan pembangunan negara amat penting tambahan pula dengan ledakan teknologi serta media sosial yang kian rancak.
“Pemimpin muda dapat menarik minat anak muda dan dapat bersama dengan pemimpin yang berpengalaman dalam meningkatkan pembangunan negara serta juga membangunkan masyarakat dari segi fizikal, insaniah dan intelektual.
“Ramai juga yang kurang yakin dengan kepimpinan golongan muda untuk melakukan tugasan yang diberi.
“Sebenarnya, kita tidak mampu menilai seseorang jika tidak diberi peluang. Apa yang menjadi kayu ukur pada seorang pemimpin adalah keupayaan dan juga tanggungjawab yang dipikul itu dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Selain itu juga menurutnya, kita juga perlu mengimbangkan dengan golongan yang berpengalaman dan golongan muda yang bersifat agresif dan bersemangat.
Tambahnya, untuk menentukan seseorang pemimpin ia memerlukan kemahiran bukan berlandaskan emosi semata-mata.
Pada masa yang sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman turut menyampaikan ucaptama kepada pelajar baharu.
Menurutnya, program ini merupakan platform untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk lebih memahami mengenai undi 18 yang dijangkakan akan diadakan dalam masa terdekat ini.
“Jika dahulu, kelayakan mengundi adalah berumur tidak kurang daripada 21 tahun, namun kini kerajaan telah meluluskan kelayakan mengundi dibuka kepada usia 18 tahun.
“Ini membuktikan kerajaan mempecayai golongan anak muda dan anak muda jangan mudah terpedaya dengan momokkan dengan isu yang berasaskan pada agama, bangsa, tetapi fokuskan kepada isu-isu yang berasaskan kepada framework kepimpinan yang hendak memajukan negara.
“Golongan muda ini diiharapkan dapat melaksanakannya secara terbaik berasaskan platform dan dasar-dasar yang diutarakan oleh pihak kerajaan serta berasaskan kepimpinan yang mantap,” ujarnya.
Beliau juga berharap menerusi program ini pelajar dapat menimba ilmu dengan sebaiknya.
Program anjuran Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) itu bertujuan memberi pendedahan buat generasi muda hari ini mengenai persediaan menghadapi pilihan raya yang merupakan sebahagian penentu masa depan negara.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz turut berkongsi perkembangan dan kejayaan UMP yang kini berusia 20 tahun kepada pelajar baharu serta inisiatif UMP kini ke arah melaksanakan inisiatif bebas karbon dan ingin mencapai untuk menjadi kampus pintar dan kampus hijau.
Lebih 1,500 pelajar baharu UMP menyertai Forum Bual Bicara Undi 18: Apa Orang Muda Perlu Tahu? dalam memberi pendedahan mengenai Undi 18 ini.
Program turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 123 views